Prestasi ekonomi Malaysia dijangka lebih baik pada masa depan, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan dan pasaran buruh yang stabil, kata Jabatan Perangkaan (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata Indeks Pelopor (IP) menunjukkan pemulihan positif dengan pertumbuhan 0.3 peratus untuk mencapai 110.1 mata pada Disember 2023, berbanding 109.8 mata dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Beliau berkata ekonomi Malaysia berkembang 3.0 peratus pada suku keempat 2023, kadar lebih perlahan berbanding pertumbuhan 3.3 peratus pada suku tahun sebelumnya.
Pada suku keempat 2023, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) menunjukkan peningkatan sebanyak 1.0 peratus berbanding negatif 0.05 peratus pada suku ketiga 2023.



