KUALA LUMPUR: Pulangan ekonomi daripada industri pusat data serta cadangan penambahan kerusi Dewan Rakyat bagi Sabah dan Sarawak antara isu yang dijangka dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang rasmi Parlimen, pada sesi soal jawab lisan, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) meminta Menteri Digital menjelaskan nilai ekonomi sebenar yang dijana oleh pertumbuhan pusat data di Malaysia termasuk dari segi pekerjaan, gaji berkemahiran tinggi, cukai dan penggunaan vendor tempatan berbanding nilai pelaburan yang diumumkan.
Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) pula meminta Menteri Pendidikan Tinggi menjelaskan mekanisme bagi memastikan pelajar daripada keluarga B40 yang mendapat tawaran ke institusi pendidikan tinggi tidak tercicir akibat ketidakmampuan membayar yuran pendaftaran atau kos awal kemasukan termasuk penyelesaian segera melalui bantuan dan penangguhan bayaran.
Turut menjadi tumpuan soalan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) kepada Perdana Menteri mengenai garis masa pelaksanaan cadangan yang dipersetujui pada Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 baru-baru ini khususnya berkaitan penambahan kerusi Dewan Rakyat Sabah dan Sarawak mengikut nisbah satu pertiga serta formula pemberian khas kepada Sarawak di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) meminta Menteri Pertahanan menjelaskan pelan strategik kementerian dalam memperkasakan konsep “kebersamaan” di bawah Markas Angkatan Bersama bagi mengurangkan pertindihan fungsi antara Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.
Langkah itu bertujuan meningkatkan kecekapan operasi dan menjimatkan perbelanjaan tanpa menjejaskan kedaulatan negara.
Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) pula meminta Perdana Menteri menjelaskan langkah komprehensif Tabung Haji dalam mengimbangi pelaburan domestik dan global bagi memastikan agihan nilai hibah yang kompetitif di sebalik ketidaktentuan pasaran ekonomi dunia.
Selesai sesi soal jawab lisan, Dewan Rakyat dijadual menyambung semula perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan 2027) pada peringkat jawatankuasa sebelum diikuti sesi penggulungan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transforasi Air serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
Mengikut takwim Dewan Rakyat, perbahasan Belanjawan 2027 peringkat jawatankuasa dijadual berlangsung hingga 26 Nov ini, dengan baki 16 kementerian bagi menggulung perbahasan portfolio masing-masing.
Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-15 berlangsung selama 37 hari hingga 8 Dis ini. — Bernama


