ARTIKEL

TANGKAP LAYAR... Abang Johari ketika membentangkan Bajet Sarawak 2027 pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Persidangan DUN Sarawak Ke-19. | FOTO GHAZALI BUJANG

Ekonomi Sarawak diunjur tumbuh 4.5 hingga 5 peratus pada 2026

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Ekonomi Sarawak diunjurkan berkembang 4.5 hingga 5 peratus pada 2026, disokong permintaan domestik yang berterusan serta pertumbuhan meluas merentasi semua sektor ekonomi utama.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sektor perkhidmatan menyumbang hampir 40 peratus kepada ekonomi negeri dan dijangka berkembang sebanyak 5.7 peratus pada 2026.

“Perkembangan ini dijangka dipacu aktiviti pengguna yang kukuh serta peningkatan perkhidmatan pengangkutan dan logistik, selain pertumbuhan subsektor berkaitan pengguna dijangka terus disokong oleh penggunaan domestik yang berdaya tahan.

“Manakala aktiviti perdagangan, pelaburan dan perniagaan yang berterusan akan meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan pengangkutan, logistik, kewangan serta perkhidmatan perniagaan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet Sarawak 2027 pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata sektor perlombongan dan pengkuarian turut dijangka menyokong pertumbuhan ekonomi Sarawak dengan unjuran pertumbuhan sebanyak 4.6 peratus pada 2026, yang bakal bertambah kukuh pada separuh kedua tahun ini.

“Pertumbuhan ini akan disokong oleh pemulihan pengeluaran gas asli secara beransur-ansur serta peningkatan aktiviti dalam subsektor perlombongan dan pengkuarian, sejajar dengan permintaan berterusan terhadap tenaga dan sumber mineral,” katanya.

Tambahnya, peningkatan bekalan gas juga dijangka menyokong aktiviti pembuatan hiliran, dengan sektor pembuatan diunjurkan berkembang sebanyak 2.3 peratus pada 2026.

Pertumbuhan itu dijangka dipacu pemulihan pengeluaran gas asli cecair (LNG) susulan peningkatan bekalan gas dan keadaan operasi yang lebih baik, selain aktiviti berterusan dalam industri logam asas.

Sektor pembuatan akan mengekalkan momentum pada separuh kedua tahun ini, dengan pengeluaran LNG dan logam asas terus menyumbang kepada aktiviti perindustrian serta pertumbuhan ekonomi keseluruhan.

Selain itu, sektor pertanian diunjurkan berkembang sebanyak 2.4 peratus pada 2026, disokong peningkatan pengeluaran kelapa sawit dan produktiviti yang lebih baik.

“Dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) meningkat 7.3 peratus kepada 2.5 juta tan, manakala hasil tandan buah segar meningkat 6.5 peratus kepada 12.8 tan sehektar, dengan kadar perolehan minyak yang lebih tinggi pada 19.59 peratus.

“Harga CPO juga kekal kukuh pada sekitar RM4,300 hingga RM4,450 setan, dan peningkatan hasil bermusim dijangka membantu mengekalkan pengeluaran, walaupun keadaan cuaca serta perubahan harga komoditi kekal sebagai risiko kepada prospek sektor itu,” katanya.

Sektor pembinaan pula dijangka mencatat pertumbuhan sebanyak 9.2 peratus pada 2026, disokong aktiviti pembangunan dan pelaksanaan projek infrastruktur utama di Sarawak.

Katanya, nilai kerja pembinaan yang dilaksanakan meningkat 2.2 peratus pada separuh pertama tahun ini, dengan kejuruteraan awam merangkumi 63.7 peratus daripada keseluruhan nilai kerja pembinaan.

“Momentum pertumbuhan pada separuh kedua tahun ini akan disokong oleh kemajuan projek infrastruktur dan pembangunan utama, selain pelaksanaan program di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13),” katanya.

BERITA LAIN

Teknologi dan skala perniagaan kunci kenaikan gaji pekerja

KUALA LUMPUR: Penggunaan teknologi dan peningkatan skala perniagaan mampu memperkukuh produktiviti serta keupayaan syarikat untuk mengembalikan hasil pertumbuhan kepada pekerja menerusi kenaikan gaji. Menteri Ekonomi,

BERITA TERBARU