Ekonomi Sarawak kukuh berbanding Persekutuaan

BAGAI menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri.

Itu yang berlaku kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Sabtu lalu sewaktu menghadiri majlis makan malam anjuran partinya, DAP. Malah kenyataannya Kerajaan Sarawak muflis dalam tempoh tiga tahun lantaran bajet pembangunannya RM11 bilion dilihat sebagai dangkal dan tidak bertanggungjawab.

Beliau membuat perkiraan matematik mudah, kerana Kerajaan Sarawak kononnya berbelanja besar sedangkan rizabnya hanya RM30 bilion. Namun perkiraan beliau itu silap kerana tidak pula mengambil kira pendapatan Sarawak yang dijangka melebihi perbelanjaan pembangunan tersebut. Malah beliau terus khilaf kerana gagal melihat pulangan pelaburan terhadap pembangunan yang dilaksanakan.

Tentunya rakyat Sarawak marah kerana kenyataan ‘busuk’ Guan Eng itu seakan-akan memperbodoh rakyat negeri ini. Mudah sangatkah rakyat ditipu dan diperdaya oleh Setiausaha Agung DAP ini. Dan ia disokong pula oleh pemimpin DAP Sarawak, Chong Chieng Jen yang menasihati rakyat negeri ini agar tidak mudah melatah dan beremosi. Siapa Chieng Jen untuk berkata demikian? Memang wajar rakyat Sarawak marah kerana realiti sebenarnya, ekonomi Sarawak terus kukuh. Malah lebih kukuh berbanding prestasi ekonomi Kerajaan Persekutuan sendiri.

Untuk rekod, Sarawak mengalami pertumbuhan ekonomi kukuh dan menikmati surplus lima tahun berturut-turut sejak 2014. Pada tahun lalu, Sarawak menjana pendapatan RM7.2 bilion, di sebalik perbelanjaan RM7.09 bilion, seterusnya mencipta surplus RM110.1 juta.

Di sebalik perbelanjaan yang dijangka RM11 bilion pada tahun ini, Sarawak diunjur menikmati pendapatan lebih besar, terutama melalui cukai, royalti dan pulangan daripada pelaburan dalam sektor gas dan minyak.

Cukai jualan 5 peratus dari minyak dan gas sahaja dijangka RM3 bilion dan ini belum lagi hasil daripada pelaburan yang lain dan cukai yang diperkenalkan. Dengan hidangan fakta seperti ini, bagaimana ekonomi Sarawak boleh tumbang?

Untuk pengetahuan Guan Eng, pemimpin Sarawak bukanlah kelompok yang bermain politik sepanjang masa. Pemimpin Sarawak terutamanya Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sendiri sentiasa memikirkan cara untuk meningkatkan ekonomi dan pendapatan negeri ini.

Beliau ada perancangan sendiri, malah mempunyai pegawai khas untuk tujuan pelaburan strategik. Kerana itu, dalam 24 bulan memerintah, beliau menggandakan premium balak serta memperkenalkan cukai jualan minyak dan gas yang dikuat kuasa melalui Ordinan Perlombongan Minyak 1958.

Itu hak Sarawak yang terlepas pandang sekian lama. Pada penghujung tahun ini, satu lagi cukai baharu diperkenalkan kepada pemain industri minyak dan gas. Belum lagi cukai lain, seperti hidrogen dan elektrik.

Sarawak mempunyai pelaburan langsung asing ketiga tertinggi di seluruh negara, di belakang Selangor dan Johor. Belum lagi hasil lain seperti minyak kelapa sawit dan pelancongan. Semua ini memberi sumbangan besar dan signifikan kepada ekonomi Sarawak.

Guan Eng ternyata bermain di gelanggang yang salah. Kesombongan beliau tidak bertempat kerana hakikat yang sebenar, jika ekonomi negara lumpuh, Sarawak masih boleh bertahan.

Rizab Sarawak malah lebih kukuh, jika dicampur dengan rizab negeri lain di seluruh negara. Jangan lupa, masih banyak sumber negeri ini yang masih belum digunakan.

Suara Sarawak