KUCHING: Orang ramai dijemput mengunjungi Ekspo Hasil Hutan Bukan Kayu (HHBK) 2026 yang berlangsung selama 10 hari di Plaza Merdeka, di sini, bermula esok hingga 9 Ogos ini.
Ekspo yang dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 10 malam itu menghimpunkan pelbagai produk berasaskan hasil hutan bukan kayu yang dihasilkan usahawan dan komuniti tempatan.
Pengunjung berpeluang mendapatkan pelbagai produk seperti kraf tangan, makanan, pakaian, kosmetik serta pelbagai produk lain pada harga yang berpatutan.
Selain jualan produk, ekspo berkenaan turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung termasuk sesi perkongsian ilmu dan demonstrasi pembuatan produk oleh komuniti secara percuma.
Turut diadakan ialah saringan kesihatan percuma dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat dengan kepentingan penjagaan kesihatan.
Penganjuran ekspo itu dijangka menjadi platform untuk mempromosikan hasil hutan bukan kayu Sarawak dan membuka peluang kepada usahawan tempatan memperluas pasaran produk mereka.






