MUKAH: Program Ekspo Pendidikan berjaya meningkatkan peranan proaktif komuniti dalam pembangunan pendidikan di Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi berkata, ini adalah melalui pelibatan yang lebih signifikan daripada ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru serta rakan-rakan dari pelbagai sektor.
“Hasil daripada pelaksanaan program ini, kita dapat melihat peningkatan kesedaran pendidikan yang amat penting dalam kalangan masyarakat.
“Kita juga dapat menyaksikan wujudnya sinergi baharu antara pihak sekolah dan masyarakat yang saling menyokong serta bekerjasama dalam memastikan kejayaan pendidikan anak-anak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutupan Ekspo Pendidikan Tahun 2025 Pejabat Pendidikan Daerah Mukah, di Dewan Tom Bazeley SMK Three Rivers, di sini, hari ini.
Katanya, Ekspo Pendidikan secara langsung menyumbang kepada pembentukan masyarakat lebih berilmu, berkemahiran dan berdaya saing yang mampu bersaing seterusnya menyumbang kepada pembangunan negeri serta negara.
Tegasnya, pendidikan juga bertindak sebagai ejen pemerkasaan dan pembebasan seseorang daripada dibelenggu kejahilan serta kemiskinan.
“Justeru, pendidikan adalah hak dan tanggungjawab bersama, bukan semata-mata terletak di bahu institusi dan guru, tetapi harus didukung secara kolektif seluruh lapisan komuniti,” ujarnya.
Yakub memberitahu, fokus utama ekspo ini mengetengahkan dua aspek penting iaitu Kepimpinan Berasaskan Komuniti dan Peranan Proaktif PIBG, serta Promosi Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Kedua-dua elemen ini strategi utama memperkukuh jaringan kerjasama antara sekolah dan masyarakat, memperkasa generasi muda kita agar lebih bersedia menghadapi cabaran dunia yang serba pantas serta berasaskan teknologi tinggi.
Pada majlis yang sama, Yakub turut menyerahkan dua replika cek daripada pihak Yayasan Sarawak kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Mukah, merupakan bantuan pakaian seragam bernilai RM157,000 dan biasiswa tempatan berjumlah RM38,400.







