KUCHING: Eksport Sarawak meningkat 16 peratus kepada RM91.2 bilion bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026 sekali gus mencerminkan prestasi perdagangan negeri yang terus berkembang di sebalik cabaran persaingan global.
Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata Sarawak kekal sebagai negeri pengeksport keempat terbesar di Malaysia, menyumbang 5.4 peratus daripada jumlah eksport negara.
Katanya, pada 2025 negeri ini juga merekodkan eksport bernilai RM120.8 bilion dan import RM60.5 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM60.3 bilion.
“Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, eksport meningkat 16 peratus tahun ke tahun kepada RM91.2 bilion, manakala import meningkat lapan peratus kepada RM43.5 bilion,” katanya.
Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.
Tambahnya, langkah seterusnya ialah mempelbagaikan pasaran serta membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengatasi halangan berkaitan pensijilan, pembiayaan, logistik dan akses kepada pembeli.
Menurut beliau, kementeriannya juga akan melaksanakan Strategi Pertumbuhan Perdagangan Sarawak bagi memperkukuh daya saing eksport, mempelbagaikan pasaran dan mempersiapkan lebih banyak PKS untuk menceburi perdagangan antarabangsa.
“Program Eksport Buatan Sarawak (Made in Sarawak Export Programme) akan melengkapi usaha ini dengan meningkatkan kualiti produk, pensijilan dan penjenamaan bagi memenuhi keperluan pasaran antarabangsa.
“Kami juga akan memperkukuh promosi perdagangan dan hubungan perniagaan melalui pejabat kami di Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Singapura (STATOS) dan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Brunei Darussalam (STATOB) dengan kerjasama erat Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta rakan industri bagi menghubungkan perniagaan Sarawak dengan pembeli luar negara dan peluang komersial,” ujarnya.




