KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menyeru masyarakat untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu tular melibatkan bangkai anak kucing yang ditemui di dalam kawasan kampus, baru-baru ini.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ir. Ts. Dr. Al Khalid Othman, berkata universiti telah menjalankan siasatan awal oleh Bahagian Keselamatan UNIMAS. Berdasarkan maklumat saksi, kucing itu sebenarnya sudah mati sebelum laporan rasmi dibuat pada 18 April.
“Bagaimanapun, disebabkan spekulasi dan penularan berita yang mendakwa kucing itu mati akibat perbuatan manusia, kami mengambil langkah untuk bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan bagi tindakan lanjut.
“Kita dimaklumkan bahawa ketika bangkai itu ditemui, ia masih utuh, dan juga telah disahkan bahawa ia bukan akibat perbuatan manusia.
Namun, siasatan tetap perlu diteruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media SSPCA dan UNIMAS di Dewan Serindit, Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR), UNIMAS, hari ini.
Maklumat awal mendapati bahawa penemuan bangkai kucing itu adalah pada 16 April dengan anggota badan yang masih utuh, namun laporan rasmi dibuat oleh Exco Kebajikan Pelajar UNIMAS pada 18 April sekitar 3.30 petang.
Isu tersebut terus mendapat pelbagai respons daripada masyarakat, khususnya warganet, ekoran penularan gambar yang didakwa bangkai kucing itu, sekali gus melontarkan pelbagai pendapat dan spekulasi terhadap UNIMAS.
Sehubungan itu, Penasihat Undang-undang UNIMAS, Mavis Goh, memaklumkan bahawa mereka menerima banyak maklum balas, bukan sahaja dalam kalangan masyarakat awam tetapi juga pelajar sendiri.
Menurutnya, mereka berusaha mengelak sebarang spekulasi kerana ia memberi kesan negatif kepada pelajar.
Oleh sebab itu, UNIMAS mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu ini.
“Kami berharap agar semua pihak dapat mempertimbangkan keadaan ini. UNIMAS adalah institusi pendidikan, dan pelajar datang ke sini untuk menimba ilmu.
“Laporan yang kami terima juga menunjukkan terdapat mesej atau komen daripada pihak luar kepada pelajar, yang pastinya memberi kesan kepada emosi mereka.
Justeru, kami menyeru semua pihak agar dapat mempertimbangkan keadaan ini kerana ia turut memberi impak kepada pelajar,” tegasnya.



