Elak persekitaran kerja bahaya

KUCHING: Teknologi dan peralatan yang baik membantu mengelak pekerja bekerja dalam persekitaran bahaya, sekali gus meningkatkan kualiti kerja.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talip Zulpilip berkata, ia juga akan mengimbangi pekerjaan dan kehidupan dengan bekerja dari rumah menggunakan ICT.

Menurutnya, ketika bergerak ke arah Revolusi Industri 4.0, pekerja harus dilindungi dari segi kesihatan dan keselamatan untuk memastikan mereka terus produktif. “Ia masuk akal kerana pekerja sering dianggap sebagai aset paling penting dalam mana-mana organisasi. Dalam perusahaan perniagaan, isu pekerja perlu dipelihara. Pengurusan perlu menghargai pekerja dengan dasar serta pelan komprehensif persekitaran dan kesihatan pekerjaan untuk mengelak berlakunya kemalangan di tempat kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian merasmikan Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (BOSH) Keenam 2019, baru-baru ini.

Talip berkata, ramai tidak menyedari pentingnya keselamatan dan kesihatan pekerjaan sehinggalah kemalangan, kecederaan atau kematian berlaku.

Katanya lagi, terdapat industri tidak mahu melabur dalam keselamatan dan kesihatan di tempat kerja kerana faktor kos. “Mereka tidak menyedari bahawa jika berlaku kemalangan dan kematian, mereka perlu menanggung kos tersebut. “Sekiranya industri memberi keutamaan kepada isu keselamatan di tempat kerja, ia pasti memberi manfaat kepada perniagaan,” tambahnya.

Beliau menjelaskan, PKS harus komited mengamalkan budaya keselamatan kerja untuk mencegah atau meminimumkan kemalangan melalui amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan,” PKS jelasnya, harus mengubah persepsi terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan kerana tidak boleh dilihat sebagai faktor keuntungan, tetapi penggalak produktiviti.

Sehubungan itu, beliau berharap industri di Sarawak menjadikan latihan keselamatan dan kesihatan pekerjaan untuk pekerja sebagai pelaburan, bukannya perbelanjaan.

Tambah Talib, dalam ekonomi global, isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan antara penentu daya saing syarikat melalui peningkatan produktiviti dan kecekapan.

“Peningkatan produktiviti dan peningkatan dalam persekitaran tempat kerja adalah hasil kerja keselamatan dan kesihatan yang baik dan penggunaan budaya keselamatan kerja,” katanya.

Suara Sarawak