Elak tertipu beli-belah secara maya

KEWUJUDAN teknologi canggih terus dipergiatkan dengan tercetusnya ekonomi digital berbentuk alam maya.

Dalam bahasa mudahnya, orang ramai kini boleh membeli-belah dengan duduk di rumah tanpa perlu berjalan ke sana sini untuk memilih barangan keperluan.

Berbeza dengan masa dahulu, pembelian barangan hanya dapat dilakukan dengan badan bergerak keluar dari rumah, ke pasar atau gerai-gerai jualan.

Kini, perniagaan alam maya mula mencetuskan pembelian secara dalam talian.

Ia dilihat sebagai salah satu kaedah istimewa, lebih-lebih lagi setelah dunia dilanda wabak Covid-19, yang menyaksikan orang ramai tidak berkeliaran keluar rumah sekiranya tiada apa-apa keperluan.

Misalnya, baru-baru ini, rata-rata netizen kelihatan sibuk melakukan tinjauan pada jualan barangan diskaun secara besar-besaran yang dilakukan oleh laman Shopee di Malaysia.

Mereka menyifatkan jualan murah itu menjadi pembelian yang amat berbaloi selain tidak perlu menyibukkan diri dengan bergelut ke sana sini untuk membuat pembelian.

Pilih sahaja barangan apa yang dimahukan, pembayaran juga dilakukan secara dalam talian. Selepas itu pembeli hanya menunggu tarikh atau masa yang dijanjikan oleh penjual di laman itu untuk membuat penghantaran barangan.

Ia dilakukan dengan hanya menekan tombol-tombol di telefon bimbit masing-masing.

Ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa tempat sebelum ini, kaedah perniagaan dalam talian ini sememangnya mendapat perhatian yang memberangsangkan daripada masyarakat.

Orang awam kini dapat menikmati perkhidmatan perniagaan secara dalam talian tanpa perlu keluar rumah.

Ia memberikan impak positif, khususnya kepada suri rumah yang kebanyakan masa terluang di rumah berbanding mereka yang bekerja.

Selain itu, langkah penjarakan fizikal yang dititikberatkan oleh kerajaan turut tidak menjadi masalah dalam kaedah pengurusan pembelian secara maya ini.

Namun menjadi kebimbangan apabila aktiviti pembelian dalam talian ini menyebabkan perbelanjaan semakin tinggi berikutan langkah-langkah perniagaan serta tawaran terhadap barangan menjadi lebih baik berbanding harga di pasaran.

Ia juga merangkumi kos penghantaran barang secara terus ke kediaman masing-masing.

Kaedah perniagaan secara dalam talian membuka peluang kepada para peniaga untuk mempromosikan barangan yang dijual.

Bagi sesetengah peniaga yang mendapat kesan akibat PKPB, mereka mengambil langkah bijak dengan mewujudkan laman di media sosial untuk menarik semula pelanggan, selain mempromosikan barangan jualan.

Untuk itu, tidak hairanlah mengapa peniaga masih boleh menjalani pernigaan sepanjang PKPB kerana kaedah ini dapat mengatasi masalah mereka untuk tidak membuka gerai.

Sebaliknya perniagaan dalam talian mampu mengurangkan sedikit beban kehilangan pelanggan selain masih dapat menjalankan perniagaan walaupun tidak seperti kebiasaan.

Namun kaedah ini tetap mempunyai kesan baik dan buruk, seperti perniagaan dalam talian.

Antara masalah utama yang sering dikeluh oleh pelanggan ialah masa untuk barangan ini sampai tepat pada waktunya.

Bagi kaki beli-belah, budaya itu turut tidak dapat diubah walaupun sistem pembeliannya berubah mengikut peredaran zaman.

Perbezaannya kini cuma masa penghantaran dan kualiti barangan yang telah dipilih mengikut gambar dan sedikit maklumat yang disediakan oleh penjual di laman-laman jualan alam maya ini.

Malah ada pembeli yang terpaksa menunggu berbulan-bulan.

Ini disebabkam jarak penghantaran terlalu jauh, memerlukan penerbangan atau terdapat permasalahan ketika barangan ini dipos.

Selain itu, terdapat juga anasir-anasir jahat termasuk jenayah siber seperti peniaga palsu cuba mengaut keuntungan dengan membuat jualan barang yang tidak wujud.

Sebagai pengguna media sosial kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga agar tidak menjadi mangsa.

Kita juga tidak seharusnya mudah terpedaya dengan iklan-iklan yang memikat.

Di samping itu, penipu secara maya ini juga wajar diberikan hukuman berat, sesuai dengan kesalahan yang mereka lakukan. Jika tidak, masalah ini akan terus berlaku pada masa akan datang.