ARTIKEL

Elak tragedi jalan raya

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Baru-baru ini, media sosial dibanjiri pelbagai hantaran berkaitan kemalangan jalan raya yang menyayat hati.

Perkongsian demi perkongsian mengenai insiden yang melibatkan penunggang motosikal yang maut dirempuh pemandu mabuk di Jalan Raya Barat, Klang, Selangor, Ahad lalu mencetuskan gelombang emosi dalam kalangan masyarakat.

Rasa ingin tahu bertukar menjadi marah dan kecewa apabila semakin ramai warganet tampil berkongsi pandangan serta meluahkan ketidakpuasan hati terhadap sikap tidak bertanggungjawab segelintir pemandu yang memilih untuk memandu dalam keadaan mabuk.

Tragedi ini sekali lagi membuka mata kita bahawa jalan raya merupakan ruang yang menuntut disiplin, kesedaran dan tanggungjawab bersama-sama, kerana setiap kelalaian boleh mengorbankan nyawa insan yang tidak bersalah.

Menerusi perkongsian rakaman kamera kereta di media sosial, keadaan mangsa yang dilihat berpusing-pusing di udara sebelum menghempap bumbung kereta pengguna lain menggambarkan betapa dahsyatnya impak perlanggaran tersebut.

Detik mengerikan itu cukup untuk menggambarkan betapa rapuhnya nyawa manusia apabila berdepan kecuaian di jalan raya.

Dalam sekelip mata, satu kehidupan terhenti akibat tindakan tidak bertanggungjawab pihak lain, sekali gus meninggalkan kesan trauma bukan sahaja kepada keluarga mangsa, tetapi juga kepada saksi dan masyarakat yang mengikuti kejadian tersebut.

Justeru, keselamatan jalan raya bukan sekadar tanggungjawab individu terhadap diri sendiri, tetapi juga merupakan amanah besar yang melibatkan nyawa orang lain.

Setiap kali seseorang memegang stereng atau menunggang di jalan raya, dia sebenarnya berkongsi ruang dengan pelbagai lapisan masyarakat, iaitu kanak-kanak, ibu bapa, pekerja dan warga emas yang masing-masing mempunyai kehidupan, harapan dan insan tersayang yang menanti mereka pulang.

Namun, realitinya, sikap tidak bertanggungjawab segelintir pengguna jalan raya terus meragut nyawa yang tidak bersalah.

Statistik kematian jalan raya di Malaysia saban tahun menunjukkan angka yang membimbangkan, dengan ribuan nyawa terkorban akibat kemalangan yang sebahagian besarnya berpunca daripada kecuaian manusia.

Dalam konteks ini, persoalan besar yang perlu kita hadapi bersama-sama ialah sejauh mana kita benar-benar memahami erti tanggungjawab di jalan raya.

Kisah Allahyarham Amirul Hafiz Omar menjadi simbol tragis kepada isu ini.

Beliau merupakan seorang suami dan ayah yang keluar rumah dengan niat sederhana, iaitu mencari buku Matematik untuk anak, namun tidak pernah kembali.

Perjalanan yang pada asalnya rutin harian bertukar menjadi detik terakhir dalam hidupnya apabila dirempuh pemandu mabuk.

Peristiwa ini bukan sahaja meragut satu nyawa, tetapi memusnahkan sebuah institusi keluarga.

Isteri kehilangan pasangan hidup, anak-anak kehilangan tempat bergantung, dan sebuah rumah tangga kehilangan tiang utamanya.

Dalam sekelip mata, tanggungjawab yang selama ini dipikul bersama-sama kini jatuh sepenuhnya ke bahu seorang isteri yang terpaksa kuat demi meneruskan kehidupan.

Tragedi sebegini bukan kes terpencil.

Statistik menunjukkan kemalangan jalan raya di Malaysia sering kali dikaitkan dengan faktor manusia seperti memandu laju, melanggar peraturan, penggunaan telefon ketika memandu dan lebih membimbangkan, pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Menurut statistik Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) pada 2023, jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya pada tahun tersebut ialah seramai 6,443 orang dengan purata 18 kematian direkodkan setiap hari akibat kemalangan jalan raya, bersamaan satu nyawa terkorban setiap 80 minit.

Daripada jumlah tersebut, hampir dua pertiga atau 12 kematian sehari melibatkan pengguna motosikal.

Daripada jumlah itu, sebanyak 4,480 kematian, iaitu hampir 70 peratus, melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Angka ini menunjukkan keadaan keselamatan jalan raya yang membimbangkan.

Setiap angka dalam statistik itu sebenarnya mewakili cerita tentang kehilangan, kesedihan dan masa depan yang terhenti secara tiba-tiba.

Namun, masyarakat sering melihat angka ini sebagai sekadar data tanpa benar-benar menghayati kesan mendalam yang ditinggalkan.

Dalam kes pemandu mabuk, isu ini menjadi lebih serius kerana melibatkan keputusan sedar yang dibuat oleh individu tersebut.

Seseorang tidak secara tidak sengaja menjadi mabuk dan dia juga tidak dipaksa untuk memandu dalam keadaan itu. Perbuatan tersebut merupakan satu pilihan, iaitu pilihan untuk minum dan pilihan untuk memandu.

Apabila sesuatu tragedi berlaku akibat pilihan ini, hal ini tidak lagi boleh dianggap sebagai kemalangan semata-mata, tetapi lebih kepada kecuaian yang disengajakan.

Dari sudut perundangan, hukuman terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian sememangnya berat, termasuk penjara, denda dan penggantungan lesen.

Namun, keberkesanan hukuman ini sering dipersoalkan.

Hakikatnya, selepas menjalani hukuman, pesalah masih berpeluang untuk meneruskan kehidupan.

Sebaliknya, mangsa tidak akan kembali, manakala keluarga mangsa pula terpaksa menanggung kehilangan itu sepanjang hayat.

Ketidakseimbangan ini menimbulkan persoalan tentang keadilan serta keperluan untuk memperketat undang-undang agar benar-benar memberi kesan pencegahan.

Namun begitu, penyelesaian terhadap isu ini tidak boleh bergantung pada undang-undang semata-mata.

Pendidikan dan kesedaran memainkan peranan yang sama penting.

Sikap masyarakat terhadap pemanduan perlu berubah. 

Pemanduan dalam keadaan mabuk harus dilihat bukan sahaja sebagai kesalahan undangundang, tetapi juga sebagai perbuatan yang memalukan serta tidak boleh diterima dalam norma sosial.

Budaya saling menegur dan bertanggungjawab perlu dipupuk, iaitu rakan atau ahli keluarga perlu berani menghalang seseorang daripada memandu jika berada dalam keadaan tidak sesuai.

Selain itu, penting untuk kita memahami bahawa berhati-hati di jalan raya tidak semestinya menjamin keselamatan jika pengguna lain bertindak melulu.

Ramai yang berpendapat walaupun mereka mematuhi peraturan, risiko tetap wujud akibat kecuaian orang lain. Ini merupakan realiti yang tidak boleh dinafikan.

Namun, hal ini tidak bermakna usaha untuk memandu secara berhemah adalah sia-sia.

Sebaliknya, hal ini menekankan keperluan untuk pendekatan yang lebih menyeluruh, termasuk penguatkuasaan yang konsisten, teknologi keselamatan dan pendidikan berterusan kepada masyarakat.

Sebagai masyarakat, kita perlu mengambil iktibar daripada tragedi ini.

Setiap pengguna jalan raya mempunyai peranan dalam memastikan keselamatan bersama.

Tidak kira sama ada sebagai pemandu, penunggang motosikal atau pejalan kaki, setiap tindakan kita memberi kesan kepada orang lain.

Sikap mementingkan diri sendiri, terburu-buru dan sambil lewa perlu diubah kepada sikap bertanggungjawab, berhemah dan empati.

Akhirnya, persoalan yang perlu kita renungkan ialah berapa banyak lagi nyawa perlu terkorban sebelum perubahan sebenar berlaku.

Setiap kehilangan terlalu mahal untuk dibayar.

Tiada hukuman yang mampu menggantikan nyawa dan tiada masa yang mampu memulihkan sepenuhnya luka yang ditinggalkan.

Oleh itu, perubahan perlu bermula dari diri sendiri, dengan kesedaran bahawa setiap keputusan di jalan raya membawa implikasi yang besar.

Keselamatan jalan raya bukan sekadar tentang mematuhi undang-undang, tetapi tentang menghargai kehidupan.

Setiap kali kita keluar rumah, ada insan yang menunggu kita pulang.

Jangan biarkan kecuaian, sama ada milik kita atau orang lain, menjadi punca kepada tragedi yang tidak sepatutnya berlaku.

BERITA LAIN

Jambatan mudahkan perjalanan pulang

Setiap kali musim perayaan tiba, perjalanan pulang ke kampung menjadi antara perkara yang paling dinantikan, terutama bagi mereka yang bekerja jauh dari kampung halaman. Namun,

Peperiksaan medan bina diri

Peperiksaan merupakan salah satu perkara penting dalam kehidupan seorang pelajar. Peperiksaan bukan sekadar mengukur sejauh mana seseorang menguasai ilmu yang dipelajari, malah menjadi medan untuk

BERITA TERBARU