KUANTAN: Swiss-Grand Beach Resort Kuantan mengetengahkan elemen songket berwarna-warni dan anyaman rotan selepas menjalani transformasi menyeluruh serta memperoleh penarafan lima bintang pada Januari lepas.
Menurut Bernama, resort di Pantai Balok itu menggabungkan konsep kontemporari dan minimalis dengan warisan tempatan menerusi penggunaan songket di bilik dan koridor, manakala rotan digunakan pada kepala katil.

Pengurus Besarnya Sonnie Lauh berkata penggunaan kedua-dua elemen itu bertujuan mengetengahkan warisan negara, dengan songket turut mencerminkan identiti Pahang.
Beliau berkata transformasi berkenaan melibatkan penambahbaikan kesemua 306 bilik serta kawasan awam termasuk lobi, Garden Terrace dan The Deli.
Penarafan lima bintang itu turut membawa kepada penjenamaan semula daripada Swiss-Garden kepada Swiss-Grand Beach Resort Kuantan, sekali gus menjadikannya hartanah pertama di bawah jenama premium Swiss-Grand di Malaysia.
Resort yang mula beroperasi pada 1998 itu menawarkan bilik mewah, bilik keluarga dan suite eksekutif berkeluasan antara 40 hingga 72 meter persegi, selain pelbagai kemudahan dan aktiviti untuk keluarga serta pelanggan korporat.
Lauh berkata transformasi itu memberi kesan positif terhadap prestasi resort apabila ketibaan pengunjung dan kadar penghunian meningkat antara 30 hingga 40 peratus, manakala penglibatan dalam program OSK Beach Combing (COMB-AT) di Pantai Balok turut mencerminkan komitmen resort terhadap kebersihan pantai dan tanggungjawab ESG.





