KUCHING: Kejayaan menghadiahkan pingat emas pertama e-sukan buat Sarawak dalam penyertaan sulung pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) menjadi pembakar semangat untuk Jeff Tan Qi Rui, Aaron Richard dan Cindy Cheng Ming En untuk bertanding di peringkat yang lebih besar.
Kejayaan yang dilakar menerusi kategori perlumbaan ketahanan campuran itu cukup bermakna buat ketiga-tiga atlet berkenaan yang kini mengintai sasaran lebih besar selepas kejayaan menamatkan penantian enam tahun negeri ini untuk meraih emas dalam acara berkenaan.
Kecemerlangan itu menjadi suntikan semangat untuk terus mengasah kemahiran, selain membuka peluang mewakili Malaysia serta membina laluan ke arena profesional sukan permotoran.

Jeff berkata, beliau berharap diberi peluang mewakili negara pada Sukan SEA pada masa akan datang.
“Kalau diberi peluang, saya mahu mewakili Malaysia di Sukan SEA,” katanya ketika ditemui media selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, semalam.
Dalam pada itu beliau yang turut memenangi pingat perak menerusi kategori perlumbaan pecut e-sim lelaki perseorangan berkata, pelibatannya dalam perlumbaan menggunakan simulator itu bermula selepas diperkenalkan oleh bapanya sebelum beliau kemudiannya terpilih menyertai pasukan SUKMA.
“Persaingan di SUKMA bukan mudah apabila kami berdepan lawan yang mempunyai kelajuan serta akses kepada kemudahan lebih maju.
“Namun, persiapan yang dilakukan pasukan membolehkan kami menyesuaikan diri dengan tekanan pertandingan dan akhirnya membawa pulang emas ke Sarawak,” ujarnya.
Sementara itu, Aaron pula menyasarkan untuk meneruskan ke peringkat profesional, termasuk mengejar peluang menyertai program Toyota Rookies.
Mengenai kejohanan tersebut, Aaron berkata, kelebihan kemudahan yang dimiliki pihak lawan tidak mematahkan semangat mereka, sebaliknya latihan berterusan membantu pasukan Sarawak mengejar rentak pertandingan.
Menurut Aaron kejayaan turut disumbang melalui persiapan rapi pasukan sejak awal tahun ini dengan latihan intensif sehingga sembilan jam sehari.
“Bagi memastikan kecergasan dan fokus sentiasa berada pada tahap terbaik, pasukan turut menjalani latihan fizikal selain latihan menggunakan simulator serta persediaan mental.
Aaron merakamkan penghargaan kepada ibunya yang terus memberikan sokongan sejak beliau mula menceburi bidang itu pada 2024, walaupun pada awalnya keluarga mempunyai kebimbangan kerana perlumbaan simulator masih baharu di Sarawak.
Bagi Cheng pula, kejayaan itu hadir bersama dengan rasa terkejut dan bangga kerana bukan sahaja pertama kali beraksi di SUKMA, malah beliau antara anggota termuda dalam pasukan.
“Saya sangat bangga dan terkejut. Saya sangat gembira kerana ini kali pertama saya menyertai SUKMA dan saya baharu berusia 15 tahun.
“Saya sangat bangga dapat mewakili Sarawak,” katanya.
Bagi Cheng pula, kejayaan emas sulung di SUKMA menjadi suntikan semangat untuk terus memperbaiki kemahiran dan melangkah lebih jauh dalam bidang e-sukan serta perlumbaan simulator.
Dalam acara perlumbaan ketahanan campuran yang berlangsung di Pusat Konvensyen MPAJ itu, pasukan Sarawak yang diwakili Aaron, Jeff, Genevieve Henrietta Ooi dan Cheng berjaya merangkul emas selepas melengkapkan 60 pusingan dengan catatan keseluruhan 2 jam, 24 minit, 52 saat.
Mereka turut mencatat masa pusingan terpantas dua minit 19.411 saat, menewaskan tuan rumah Selangor yang meraih perak dan Terengganu gangsa.


