TEKNOLOGI dan media sosial menjadi sebahagian besar dalam kehidupan generasi muda.
Kemajuan teknologi, seperti telefon pintar, Internet dan pelbagai aplikasi media sosial menawarkan banyak kemudahan dan peluang.
Namun, di sebalik manfaatnya terdapat juga kesan sampingan yang semakin mendapat perhatian.
Isu kesejahteraan emosi atau kesihatan mental dalam kalangan generasi muda sering dikaitkan dengan penggunaan teknologi yang berlebihan.
Apa pula langkah yang boleh diambil untuk menguruskan keseimbangan tersebut?
KEKAL TERHUBUNG
Teknologi sememangnya memberi pelbagai manfaat kepada generasi muda dalam aspek kesejahteraan emosi, antaranya sebagai kemudahan berkomunikasi dan membina hubungan sosial.
Generasi muda dapat berhubung dengan keluarga, rakan dan kenalan melalui pelbagai platform seperti WhatsApp, Instagram dan TikTok.
Komunikasi segera ini membantu mereka mengekalkan hubungan yang rapat, walaupun terpisah jauh.
Misalnya, semasa pandemik COVID-19, platform seperti Zoom dan Google Meet membolehkan pelajar menjalani kelas dalam talian serta berhubung dengan rakan secara maya.
Keadaan ini memberikan mereka sokongan emosi ketika berdepan situasi mencabar khususnya apabila tidak dapat menjalani norma kehidupan.
Teknologi juga menjadi akses kepada ilmu dan sumber pendidikan — generasi muda hari ini boleh menikmati kemudahan serta mengakses pelbagai sumber pendidikan dan ilmu melalui teknologi.
Mereka boleh menghadiri kursus dalam talian, mengikuti seminar atau mendapatkan panduan kerjaya daripada pakar secara maya.
Platform pendidikan seperti Coursera, Khan Academy dan Udemy menawarkan pelbagai kursus yang membantu mereka menambah kemahiran baharu.
Pendedahan kepada peluang pembelajaran ini bukan sahaja meningkatkan pengetahuan, tetapi juga membina keyakinan dan motivasi diri.
Selain itu, ia menjadi sumber inspirasi dan sokongan positif, membolehkan generasi muda mendapat akses kepada kandungan motivasi dan inspirasi.
Media sosial dipenuhi dengan pelbagai akaun yang memberi inspirasi, seperti akaun yang berkongsi kisah kejayaan, nasihat kesihatan mental dan sokongan emosi.
Promosi kesihatan mental, menyebarkan mesej positif dan motivasi harian menjadi isi kandungan yang membantu dalam mengatasi tekanan dan cabaran kehidupan.
KETAGIH MEDIA SOSIAL
Pun begitu, tidak dinafikan bahawa perubahan dan transisi ke arah perkembangan baharu dan canggih turut memiliki implikasi yang boleh menjejaskan kesejahteraan emosi generasi muda.
Beberapa kesan negatif yang sering berlaku dalam kalangan generasi muda ketika ini ialah ketagihan media sosial dan gangguan fokus.
Remaja sering menghabiskan waktu yang lama menatal media sosial tanpa sedar, sekali gus menjadikan fenomena ini bukan sahaja menjejaskan produktiviti, malah menyebabkan mereka mudah terganggu ketika melakukan aktiviti penting seperti belajar atau bekerja.
Sebagai contoh, laporan tahunan We Are Social 2023 mendapati bahawa purata masa yang dihabiskan di media sosial di Malaysia lebih daripada tiga jam sehari — jauh lebih tinggi daripada purata global.
Masa yang lama dihabiskan di media sosial bukan sahaja mengurangkan produktiviti, tetapi juga mengganggu fokus dan tumpuan dalam kehidupan harian mereka.



