MUKAH: Cubaan sekumpulan lelaki meloloskan diri ke kawasan hutan selepas menyedari kehadiran polis tidak berhasil apabila empat daripada mereka berjaya diberkas dalam serbuan ke atas kegiatan sabung ayam di sebuah kebun kelapa sawit di Jalan Bayan Ulu, dekat sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, serbuan kira-kira 2 petang itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah hasil maklumat awam serta risikan.

Katanya, ketika serbuan dilakukan, beberapa lelaki sedang asyik menjalankan aktiviti sabung ayam sebelum bertempiaran melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
“Polis bertindak mengejar suspek dan berjaya menahan empat lelaki tempatan berusia antara 30 hingga 48 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan di lokasi, polis merampas tiga ekor ayam hidup, seekor ayam mati, dua bilah taji, sebuah alat penimbang, beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian serta wang tunai berjumlah RM55.
Katanya, semua suspek dibawa ke IPD Mukah bagi membantu siasatan lanjut.
“Hasil saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah, namun semakan turut mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 73(1)(g) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.



