KUCHING: Tiga klinik panel Skim Faedah Kesihatan Warga Emas (SCHB) di Sarikei, Mukah dan Miri menerima surat amaran, manakala sebuah klinik di Kuching digantung sementara daripada senarai panel serta tidak dibenarkan menerima pesakit yang menggunakan kelayakan program berkenaan sepanjang tempoh siasatan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, tindakan itu diambil susulan aduan rasmi orang awam serta hasil pemantauan dan pemeriksaan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak di lapangan yang mendapati berlaku pelanggaran serius terhadap Memorandum Perjanjian (MOA) antara Kerajaan Sarawak dan klinik terlibat.
‘’Antaranya, klinik-klinik berkenaan didapati menyediakan perkhidmatan kesihatan dan produk perubatan yang tidak diluluskan, membenarkan penggunaan kuota SCHB oleh individu yang tidak layak termasuk ahli keluarga penerima, serta wujud ketidakpadanan antara ubat yang dibekalkan kepada pesakit dengan item yang disenaraikan dalam resit tuntutan,’’ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Laporan Bulanan Jawatankuasa One Stop Committee (OSC) bagi Menangani Isu Dadah dan Substans (MIDS) Sarawak di Wisma Bapa, di sini, hari ini.
Fatimah menambah, perbuatan berkenaan jelas menunjukkan ketidakpatuhan terhadap garis panduan tuntutan, piawaian klinikal yang diluluskan serta penyalahgunaan kemudahan dan peruntukan kerajaan di bawah program SCHB.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri telah melaksanakan audit pematuhan dan siasatan dalaman terhadap klinik panel terlibat, termasuk pengeluaran surat amaran, penggantungan sementara serta siasatan ke atas tuntutan invois, selain melarang klinik berkenaan menerima pesakit yang menggunakan kelayakan SCHB sepanjang tempoh siasatan dijalankan.
Fatimah menegaskan kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pelanggaran terma perjanjian, etika profesional atau peruntukan undang-undang sedia ada, dan tindakan tegas akan terus diambil tanpa prejudis.
Dalam perkembangan berkaitan, kata Fatimah, setakat 19 Disember 2025, seramai 12,234 warga emas telah berdaftar sebagai penerima manfaat SCHB, iaitu inisiatif kerajaan negeri yang menyediakan kemudahan rawatan pesakit luar secara tanpa tunai sehingga RM500 setahun kepada warga emas berumur 60 tahun ke atas daripada isi rumah berpendapatan RM7,000 ke bawah.
‘’Warga emas yang menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak perlu mengemukakan permohonan kerana kelayakan mereka telah dimasukkan secara automatik ke dalam sistem, manakala mereka yang bukan penerima bantuan tetapi memenuhi syarat pendapatan boleh memohon untuk menikmati kemudahan SCHB.
‘’Setakat ini, terdapat 286 fasiliti kesihatan panel berdaftar di bawah program berkenaan, merangkumi 177 klinik perubatan, 97 klinik pergigian dan 12 hospital pakar di seluruh Sarawak.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kebajikan serta kesinambungan rawatan warga emas di bawah program SCHB akan terus dipelihara, di samping mengingatkan semua klinik panel supaya sentiasa mematuhi piawaian perkhidmatan, mengamalkan integriti tinggi dan meletakkan kepentingan pesakit sebagai keutamaan.
Kerajaan negeri, katanya, akan terus memperkukuh mekanisme pemantauan, kawal selia serta penambahbaikan dasar bagi memastikan pelaksanaan program ini kekal berintegriti, telus dan berkesan.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam; Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan Sarawak, Abdul Hamediee Ibrahim; serta Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, ACP Mustafa Kamal Gani Ab.





