NEW DELHI, India: Sekurang-kurangnya empat orang, termasuk pegawai perhutanan, maut diserang seekor gajah liar di negeri Assam, timur laut india, lapor Xinhua yang memetik laporan media tempatan.
Insiden itu berlaku di Dhiraimajuli, Daerah Sonitpur, sekitar 147 kilometer ke timur laut Dispur, ibu negeri Assam.
“Seorang individu maut selepas diserang gajah liar itu setelah dia keluar dari rumah pada lewat malam untuk membuang air, sementara seorang lagi maut selepas cuba mengusir haiwan itu, “kata Pegawai Perhutanan Daerah, Pirai Sudhan.
“Gajah liar itu kemudian memijak dua pegawai perhutanan yang sedang meronda di kawasan berkenaan sehingga mati,” katanya.
Pegawai Perhutanan Daerah itu juga mengeluarkan amaran, dan petugas bergegas ke kawasan kejadian untuk meningkatkan lagi rondaan dan mengawal gajah berkenaan. – BERNAMA-Xinhua



