MIRI: Empat lelaki termasuk tiga warga asing ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kejadian samun berkawan bersenjata di sebuah rumah dua tingkat di Taman Viana, Jalan Bakam, Miri sekitar 4 pagi Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Miri, Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat awal kejadian itu melalui panggilan kecemasan 999.
“Pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri segera ke lokasi bagi menyelamatkan mangsa sekeluarga. Namun, setibanya anggota di tempat kejadian, kumpulan penyamun terbabit melarikan diri.
“Bertindak atas maklumat orang awam, polis berjaya mengesan kedudukan kumpulan berkenaan dan menumpaskan sindiket itu dalam tempoh kurang 24 jam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Empat suspek berusia antara 38 hingga 57 tahun ditahan termasuk seorang lelaki tempatan, manakala selebihnya warga asing.


Dalam serbuan, polis merampas pelbagai barangan disyaki digunakan semasa kejadian termasuk kenderaan, pisau pemotong, pemotong ‘cutter’, topeng muka dan pakaian suspek.
Turut ditemui, beberapa barang milik mangsa seperti jam tangan, barang kemas, dokumen pengenalan diri serta beg berisi wang tunai.
Farhan berkata, siasatan awal mendapati kumpulan itu disyaki terlibat dalam beberapa siri kes samun bersenjata di sekitar Miri sejak 2024.
“Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 20 hingga 27 Jun bagi membantu siasatan lanjut,” jelasnya lagi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat hingga membawa kepada penangkapan kesemua suspek.
Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa peka terhadap keselamatan kediaman masing-masing dan mengambil langkah pencegahan seperti pemasangan pagar, gril kukuh, CCTV serta sistem penggera.
Sebarang maklumat berkaitan jenayah di daerah Miri boleh disalurkan kepada balai polis terdekat atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Rusmin Binning di talian 016-7770957.

beberapa barang milik mangsa seperti jam tangan, barang kemas, dokumen pengenalan diri serta beg berisi wang tunai.



