ARTIKEL

Antara warga asing yang ditahan

Empat nelayan Indonesia ditahan, ceroboh perairan negara

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak menahan bot yang dikendalikan empat nelayan Indonesia kerana didapati menceroboh perairan negara, Jumaat lepas.

Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, bot berkenaan dikesan berada pada kedudukan 82 Batu nautika Utara Tanjung Po, sekitar 4.10 pagi.

“Hasil pemeriksaan mendapati, seramai empat kru termasuk tekong warga Indonesia tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah berumur dalam lingkungan 30 hingga 43 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu kata Kamal, kes kini disiasat di bawah seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa permit di perairan Malaysia.

Terdahulu, seramai tiga warga Vietnam termasuk tekong berusia 40 hingga 44 tahun ditahan akibat melakukan aktiviti perikanan tanpa permit yang sah di perairan negara.

Bot berkenaan ditahan ketika berada di perairan Sarawak di kedudukan 113 Batu nautika Utara Tanjung Po pada 10.30 malam Khamis.
 
“Ketika penahanan dilakukan, kesemuanya tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” ujarnya.
 
Pada masa sama kata Kamal, kedua-dua penahanan itu dibuat oleh Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) KM TUN FATIMAH ketika melakukan Op Permai, Op Tiris 3.0, Op Khas Naga Timur dan Op Khas Raja Laut 2.0 di perairan Sarawak.

Baca lain  PGA Sarawak usir 12 Pati dari Filipim dan Indonesia cuba masuk ke Sarawak secara tidak sah

Kesemua bot beserta hasil tangkapan bernilai lebih RM3 juta dan kru bot ditahan seterusnya dibawa ke Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) untuk tindakan lanjut, jelasnya.
 
“Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa permit di perairan Malaysia,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU