Empat warganegara Indonesia cuba memasuki Sarawak melalui Bau diusir semula

KUCHING: Empat rakyat Indonesia yang berasal dari Sambas berjaya ditahan ketika cuba memasuki Malaysia (Sarawak) dari Bau.

Komander Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak SAC Mancha Ata berkata, tujuh anggota telah menjalankan tugas rondaan Ops Benteng di Pos Padang Pan, Bau.

“Pada jam 9.15 pagi tadi, kami menemui empat lelaki warganegara Indonesia di ladang kelapa sawit tersebut.

“Semasa pemeriksaan empat lelaki tersebut gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah,” katanya menerusi satu kenyataan.

Sehubungan itu, tambahnya, PGA melakukan pengusiran terhadap subjek melalui Pos ATM JPG Serikin.

“Tiada sebarang kekerasan dan sentuhan badan dilakukan sepanjang pemeriksaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959 (Akta 155) dan Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),”ujarnya.

Suara Sarawak