Enam individu ditahan miliki dadah

KUCHING: Seramai enam individu termasuk seorang wanita ditahan dalam tiga operasi berasingan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Kuching minggu ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa berkata tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki berusia 35 tahun di belakang pasar raya di Lorong Bayor Bukit 2, Tabuan Jaya sekitar jam 9.15 malam, 6 Disember lalu.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek turut merampas satu paket dadah jenis syabu seberat 6.54 gram, dengan anggaran nilai rampasan RM654.

“Suspek juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine/ Amphetamine dan mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Manakala, katanya dua lelaki berumur 24 dan 31 tahun ditangkap pada 7 Disember lalu, sekitar jam 6.00 petang di tepi jalan Lorong Pedidi 4, Petra Jaya kerana memiliki 16 paket dadah jenis syabu seberat 73.72 gram yang dianggar bernilai RM7,372.

Katanya kedua-dua suspek juga positif dadah jenis Methamphetamine /Amphetamine dan mempunyai satu rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

Sementara, Merbin berkata tangkapan ketiga melibatkan dua lelaki berusia 21 dan 32 tahun dan seorang wanita berusia 26 pada 12 Disember lalu, sekitar jam 5.17 petang di Lorong Bintawa 1, Bintawa Village kerana memiliki dadah jenis syabu seberat 5.20 gram dengan anggaran nilai RM520.

Beliau berkata keenam-enam suspek dipercayai memperolehi bekalan dadah secara pembayaran melalui ‘bank in’.

“Bekalan dadah akan dihantar oleh pengedar di tempat ditetapkan dan suspek akan datang sendiri mengambil dadah tersebut,” katanya.

Paket dadah yang dirampas daripada suspek dalam tiga operasi berasingan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Kuching minggu ini. Seramai enam individu termasuk seorang wanita ditahan.

Suara Sarawak