BAU: Enam lelaki termasuk empat yang mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah ditahan selepas didapati positif dadah jenis syabu dalam satu operasi di sekitar Kampung Sibuluh dan Kampung Bobak Sejinjang Singai, hari ini.
Ketua Polis Daerah Bau Superintenden Mohd Haide A. Rahman berkata, operasi bersepadu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) bersama Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau itu membawa kepada penahanan kesemua suspek berusia antara 23 hingga 41 tahun.
“Hasil saringan awal air kencing di Pejabat BSJND Bau mendapati kesemua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Siasatan awal turut mendapati empat daripada mereka mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala dua lagi tidak mempunyai sebarang rekod berkaitan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Haide, kesemua suspek mengaku kali terakhir mengambil dadah jenis syabu sehari sebelum ditahan dalam operasi berkenaan.
Katanya, tiada rampasan dadah atau barang kes lain direkodkan dalam operasi tersebut, namun semua suspek ditahan untuk tindakan lanjut selepas keputusan ujian saringan air kencing mengesahkan pengambilan bahan terlarang itu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Bau sementara menunggu tindakan selanjutnya,” katanya.



