Enam wakil Sarawak mencuri perhatian dalam pertandingan Mister and Miss Native Borneo (MNB) 2026 apabila berjaya menduduki kedudukan dalam kelompok terbaik, selain meraih beberapa anugerah khas menerusi usaha mengetengahkan budaya dan warisan Borneo.
Pertandingan yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah itu menyaksikan Melanie Melvy Bentong, 24, meraih tempat ketiga dalam kategori Miss Native Borneo 2026, manakala Siti Farhana Abida Mohammad Faizal Aziki, 23, menduduki tempat kelima.
MNB memaklumkan, pencapaian Melanie turut diserikan dengan dua anugerah khas, iaitu Anugerah Pilihan Ramai dan Anugerah Projek Impak Budaya Terbaik menerusi projek Hand of Hope.
“Projek Hand of Hope memberi tumpuan kepada usaha menyebarkan kebaikan dan harapan kepada golongan yang memerlukan, termasuk haiwan.
“Sementara itu, Siti Farhana menerima Anugerah Potret Khas Alaiy,” katanya.
Bagi kategori Mister Native Borneo 2026, Abel Emmanuel Juman, 23, meraih tempat ketiga, diikuti Owenozzi Ansor, 27, di tempat kelima.
“Sementara itu, Camillus Sim Soon Teck, 33, menduduki tempat keenam, manakala Mohd Khairul Azhar Daud, 33, berada di tempat ketujuh,” katanya.
Selain pencapaian dalam kategori masing-masing, wakil Sarawak turut menyerlah menerusi pengiktirafan khas atas usaha mempromosikan budaya dan sumbangan kepada komuniti.
Owenozzi memenangi Anugerah Pilihan Ramai, manakala Mohd Khairul meraih tempat ketiga dalam Anugerah Video Impak Budaya Terbaik atas sumbangannya dalam meningkatkan kesedaran tentang budaya menerusi penceritaan video.
“Selain itu, Camillus berjaya mara ke kelompok lima peserta terbaik dalam Cabaran Bersemuka bagi pusingan kedua, sekali gus berpeluang menyampaikan idea dan mengetengahkan usaha advokasi komuniti pada peringkat antarabangsa,” jelasnya.
MNB 2026, yang bertemakan “Echoes of Culture, Heart for Communities”, menghimpunkan peserta akhir dari Sarawak, Sabah dan Labuan di Malaysia, Kalimantan di Indonesia serta Brunei Darussalam.
Mengulas lanjut, MNB berkata, pertandingan itu bertujuan meraikan kepelbagaian budaya dan warisan Borneo, selain menggalakkan penghargaan terhadap budaya, penglibatan komuniti serta hubungan rentas sempadan.
“Oleh itu, penyertaan wakil Sarawak membantu memperkenalkan warisan negeri kepada khalayak yang lebih luas.
“Pada masa sama, penyertaan itu turut menggalakkan generasi muda menghargai akar budaya sendiri dan menghormati tradisi masyarakat lain,” katanya.





