BAKAT seni mengalir dalam keluarga, namun bagi Donnee Francis, 23, perjalanan membina identiti sendiri dalam industri muzik bermula menerusi karya terbaharunya, *Pilih Iya Tauka Aku*.
Lagu itu mula mendapat perhatian pendengar apabila mencatatkan 38,000 tontonan setakat Jumaat, selain menerima maklum balas positif.
Sambutan tersebut merupakan perkembangan yang memberangsangkan bagi Donnee, yang kini mula memperkenalkan bakatnya menerusi karya sendiri.
Donnee merupakan anak bongsu daripada lima beradik serta adik kepada Melissa Francis dan Hairee Francis, yang turut terlibat dalam bidang seni.
Menariknya, *Pilih Iya Tauka Aku* turut menampilkan abangnya, Hairee, dalam pembikinan lagu itu.
Hairee bertindak sebagai komposer, penulis lirik, penerbit muzik, pengarah, pengarah fotografi dan penyunting video muzik berkenaan.
Lagu itu dirakamkan di Francis Five Studio Production, manakala penerbitannya dikendalikan oleh Platinum World Network Sdn. Bhd.
Donnee pula bertindak sebagai pengarah kreatif bagi projek tersebut, dengan Rodriguez Gigez turut menyumbang tenaga sebagai kru produksi.
Di sebalik pelibatannya dalam dunia muzik, Donnee baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di sebuah universiti tempatan di Sarawak.
Perjalanan itu memperlihatkan sisi berbeza Donnee yang bukan sahaja memberikan tumpuan kepada bidang akademik, malah turut meneroka peluang untuk mengembangkan bakat dalam bidang muzik.
Menerusi *Pilih Iya Tauka Aku*, Donnee berpeluang memperkenalkan dirinya kepada lebih ramai pendengar, sambil membina kerjaya tersendiri dalam dunia hiburan dengan sokongan keluarga serta maklum balas positif terhadap karya terbaharunya.





