MEDAN: Pihak berkuasa Indonesia merampas dadah jenis ketamin bernilai kira-kira AS$192 juta dari sebuah kapal tangki yang dipintas di luar perairan Wilayah Sumatera Utara, kata seorang pegawai kanan polis pada Jumaat lalu.
Polis dan pegawai kastam memintas sebuah kapal yang membawa 1.16 tan ketamin di perairan Sumatera pada Selasa, menurut Ketua Polis Negara, Suyudi Ario Seto, serta membongkar sebuah makmal rahsia syabu cecair di wilayah Aceh sehari kemudian.
Komuniti perisikan mula menjejak kapal tangki MT Global 168 yang belayar dari Thailand merentasi Laut Andaman pada Ogos selepas menerima maklumat bahawa ia mungkin terlibat dalam aktiviti mencurigakan, kata Suyudi kepada pemberita di bandar Medan.
Kapal itu mengibarkan bendera Mongolia tetapi dimiliki sebuah syarikat yang berpangkal di Johor Bahru, Malaysia, kata Suyudi.
Polis dan pegawai kastam memintas kapal tersebut di Selat Melaka pada Selasa semasa dalam perjalanan menuju ke Pelabuhan Klang, Malaysia dan membawanya ke Pelabuhan Belawan di Sumatera Utara untuk pemeriksaan.
“Daripada operasi geledah ini, pasukan gabungan berjaya merampas dadah haram dalam bentuk ketamin HCL (hidroklorida). Bahan bukti tersebut ditemui dalam 58 buah guni dengan jumlah berat mencapai 1.16 tan,” kata Suyudi.
Ketamin lazimnya berfungsi sebagai bahan bius yang bertindak pantas, tetapi kerap disalahgunakan sebagai dadah rekreasi haram. Penge-darannya dikawal ketat dan dipantau di Indonesia.
Pihak berkuasa menahan lapan anak kapal, iaitu tujuh warga Indonesia dan seorang warga Taiwan.
Polis menganggarkan muatan tersebut bernilai 3.48 trilion rupiah (kira-kira AS$192 juta), kata Suyudi.
Rampasan itu berlaku selang dua bulan selepas pihak berkuasa Indonesia memintas sebuah kapal yang membawa 1.3 tan ketamin dari Thailand yang disembunyikan di dalam 65 guni berhampiran Kepulauan Riau.
Pada Rabu, pihak berkuasa menyerbu sebuah makmal syabu rahsia di Kabupaten Pidie, wilayah Aceh, lalu merampas 1.2 tan syabu, kata Suyudi. Dadah tersebut dianggarkan bernilai 2.16 trilion rupiah.
Sembilan warga Indonesia dan dua warga China ditahan di beberapa lokasi berbeza semasa operasi tersebut, tambah beliau.
Indonesia mempunyai antara undang-undang antidadah terketa di dunia, termasuk hukuman mati bagi pengedar, namun telah mengekalkan moratorium ke atas hukuman mati selama beberapa tahun. – AFP





