KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang meneliti cadangan menaik taraf Daerah Kecil Engkilili kepada daerah penuh bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap kepada penduduk di kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat berkata kerajaan telah menerima beberapa permohonan berkaitan persempadanan semula pentadbiran di negeri ini, termasuk melibatkan Engkilili di Bahagian Sri Aman.
“Kajian terperinci sedang dijalankan bagi menilai keperluan serta kesesuaian cadangan tersebut sebelum keputusan dimuktamadkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Johnical Rayong Ngipa pada persidangan DUN Sarawak, hari ini.
Jamit menjelaskan bahawa antara perkara yang dipertimbangkan dalam pembentukan bahagian atau daerah baharu termasuk jumlah penduduk, potensi ekonomi, kemampuan kawasan tersebut menjana hasil kerajaan serta faktor jarak dan kesukaran akses ke pusat pentadbiran sedia ada.
Katanya, segala pertimbangan itu dibuat bagi memastikan setiap pembentukan bahagian atau daerah baharu benar-benar dapat meningkatkan keberkesanan perkhidmatan kepada rakyat.
“Bagi pembentukan bahagian baharu, jumlah populasi penduduk hendaklah sekurang-kurangnya 100,000 orang dan mempunyai sekurang-kurangnya dua kawasan Parlimen.
“Manakala bagi daerah baharu, jumlah populasi penduduk hendaklah sekurang-kurangnya 25,000 orang,” ujarnya.
Menjawab pertanyaan mengenai rancangan menaik taraf bangunan Pejabat Daerah Kecil Engkilili, Jefferson memaklumkan bahawa kerajaan sememangnya merancang untuk membina pejabat baharu bagi daerah kecil tersebut di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).



