»Landskap komunikasi masa kini berada di persimpangan yang kritikal. Kuasa tular membolehkan penyebaran maklumat berlaku dengan pantas dan meluas, namun pada masa yang sama turut mewujudkan jurang etika yang semakin ketara.
Usaha untuk mengupas isu etika ini direalisasikan menerusi penganjuran Seminar “Antara Etika dan Viral: Menyingkap Seni Komunikasi dalam Dunia Penyiaran Masa Kini” pada 11 Disember lalu di Auditorium Perpustakaan Tun Abdul Rahman Ya’aakub (PeTARY), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Seminar ini dianjurkan oleh 41 pelajar tahun akhir Program Komunikasi Strategik, Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi di bawah bimbingan Penyelaras Kursus PBK4194 Seminar Isu-isu Komunikasi Strategik yang juga Penasihat Seminar, Dr. Dayang Aizza Maisha Abang Ahmad.
Penganjuran seminar ini bertujuan membincangkan secara mendalam cabaran etika dalam bidang penyiaran yang semakin dipengaruhi budaya tular melalui perkongsian pengalaman dan pandangan panelis industri penyiaran, iaitu Editor Kanan TVS, Syah Hairizal Kamalul Arifi n dan personaliti Radio CATS FM, Firdaus Affandi.
CABARAN UTAMA INDUSTRI MEDIA
Pengarah program, Mohamad Daniel Haiqal Hood berkata, matlamat utama seminar ini adalah untuk membincangkan secara mendalam isu serta cabaran utama yang dihadapi oleh industri media masa ini, yang secara langsung mempengaruhi piawaian etika profesional serta fenomena budaya tular dalam masyarakat.
Syah Hairizal Kamalul Arifi n yang berpengalaman hampir 24 tahun membawa satu perspektif penting mengenai kuasa penonton.
Beliau menekankan bahawa etika bermula daripada nilai peribadi individu dan dalam konteks media tular, peranan sebagai hakim mutlak telah beralih kepada masyarakat digital.
“Jadi, apabila menyentuh tentang tular, di situlah yang saya tekankan bahawa fenomena tular ini tidak mempunyai hakim mutlak.
Hakimnya ialah netizen (orang ramai) itu sendiri,” katanya sambil menggariskan tanggungjawab bersama.
Beliau turut mengingatkan pelajar bahawa peranan editor tidak seharusnya terbatas kepada penguasaan asas kewartawanan 5W1H semata-mata.
Sebaliknya, proses penyuntingan perlu diperkaya dengan nilai kemanusiaan serta berpaksikan norma kehidupan bagi memastikan kandungan yang disebarkan bersifat beretika dan bertanggungjawab.
Sementara itu, Firdaus Affandi, yang berpengalaman hampir 12 tahun dalam bidang penyiaran radio berkongsi pandangan yang kritis dan bernas.
Beliau menjelaskan kandungan media masa ini, meskipun tersebar dengan pantas, juga mudah dilupakan dalam sekelip mata.
Sehubungan itu, Firdaus menasihati para pelajar agar berwaspada terhadap penggunaan jalan pintas yang boleh menjejaskan integriti.
Beliau turut menegaskan bahawa pengamal media perlu mengelakkan publisiti negatif semata-mata demi meraih populariti segera, sambil berkongsi pengalaman peribadi yang telah banyak mengajar beliau tentang batas etika, termasuk perkara yang wajar dan tidak wajar diperkatakan ketika bersiaran.
KETEPATAN MAKLUMAT PENTING
Di samping nasihat berkaitan publisiti, Firdaus turut berkongsi panduan praktikal mengenai kawalan kualiti dalam penyiaran. Firdaus berkata, penyampai radio lazimnya diberikan kelonggaran untuk membuat rakaman awal bagi membolehkan penerbit menapis kandungan serta mengelakkan sebarang kesilapan ketika siaran. Katanya, garis merah etika dalam penyiaran, khususnya dari sudut humor, tidak seharusnya menyentuh isu keagamaan, perkauman, kebudayaan atau apaapa perkara yang boleh menyinggung perasaan individu atau kumpulan tertentu.
Meneruskan perbincangan mengenai amalan terbaik, Firdaus menggariskan cabaran utama dalam ekosistem media sosial, iaitu godaan untuk menjadi yang terawal menyebarkan maklumat.
Beliau mengingatkan para pelajar tentang kepentingan merujuk kepada sumber yang sah dan berautoriti.
Menurut beliau, maklumat yang dikongsikan seharusnya diperoleh daripada punca yang tepat dan dipercayai, seperti TVS dan RTM.
“Janganlah kita berlumbalumba menjadi yang pertama menyebarkan maklumat sehingga akhirnya menerima kecaman,” tegas Firdaus.
Beliau turut menekankan bahawa keutamaan dalam kewartawanan dan penyiaran bukan menjadi yang pertama, tetapi memastikan ketepatan maklumat.
Perbincangan ini diakhiri dengan satu persoalan refl ektif yang signifi kan, iaitu: “Semua orang mahu menjadi ‘hero’ di media sosial, tetapi apakah implikasinya selepas itu?”, yang mengajak pelajar menilai risiko jangka panjang berbanding pencapaian segera.
PERTAHANAN TERHADAP MANIPULASI DIGITAL
Mengukuhkan lagi keperluan untuk berwaspada, Syah Hairizal berkongsi bahawa TVS melaksanakan proses saringan yang ketat sebelum sesuatu kandungan disiarkan.
Beliau menjelaskan bahawa antara keutamaan utama dalam proses tersebut ialah memastikan penulisan dan kandungan tidak menyentuh sama sekali tiga perkara sensitif, iaitu Bangsa, Agama dan Raja (3R).
Langkah ini dilaksanakan bagi mengelakkan sebarang kandungan yang berpotensi mencetuskan sensitiviti awam atau menjadi tular secara negatif.
Selain itu, Syah Hairizal turut mendedahkan kerumitan proses penyuntingan video temu bual yang dijalankan sebagai langkah perlindungan terhadap manipulasi kandungan.
Menurut beliau, rakaman temu bual akan disunting dengan teliti bagi mengelakkan sebarang perkataan atau petikan yang boleh dipotong dan disalah tafsir oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan penularan.
“Video temu bual juga akan disunting bagi mengelakkan satu perkataan dipotong oleh pihak tertentu untuk menjadikan sesuatu isu tular,” jelas beliau.
Pendekatan ini jelas mencerminkan tahap keseriusan ancaman manipulasi digital terhadap kredibiliti dan kewibawaan organisasi media.
MEMERANGI BERITA PALSU
Mengulas lanjut perbincangan mengenai cabaran ketepatan maklumat dalam arena digital, Syah Hairizal turut menarik perhatian para pelajar terhadap usaha berterusan stesen televisyen dalam memerangi penularan berita palsu.
Bagi mengelakkan masyarakat daripada terjerumus ke dalam aliran maklumat yang mengelirukan, beliau menasihatkan para pelajar dan orang awam agar melanggan serta merujuk hanya kepada saluran media rasmi.
Langkah ini penting bagi memastikan maklumat yang diperoleh sentiasa terkini, tepat dan sahih.
MENUJU KOMUNIKASI BERTANGGUNGJAWAB
Pada akhir sesi ucapan penutup, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni yang mewakili Dekan Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi, Dr. Santrol Abdullah merumuskan matlamat penganjuran seminar yang melangkaui tuntutan akademik semata-mata.
Beliau menzahirkan harapan agar perbincangan berkaitan etika yang dibincangkan sepanjang seminar ini dapat dijadikan panduan berterusan oleh para pelajar dalam kehidupan dan kerjaya mereka.
“Saya berharap seminar ini dapat memberi inspirasi kepada para pelajar untuk mengamalkan komunikasi yang bertanggungjawab dalam kerjaya masa depan mereka,” katanya.
Katanya, program ini bukan sahaja memenuhi keperluan kursus, malah sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari, khususnya SDG 4(Pendidikan Berkualiti) dan SDG 16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Kukuh), sekali gus menegaskan peranan pelajar sebagai komunikator yang bertanggungjawab dalam usaha membina masyarakat yang lebih beretika dan berdaya tahan.
Secara keseluruhan, seminar ini berjaya menarik penyertaan 103 pelajar Komunikasi Strategik Tahun Satu dan Tahun Empat, sekali gus mencerminkan kepentingan dan kerelevanan isu etika komunikasi kepada generasi baharu.
Usai seminar, Firdaus Affandi turut ditemu bual mengenai harapan beliau terhadap para peserta.
Jawapan beliau merangkumkan cabaran utama serta pengajaran penting yang diharapkan dapat dibawa pulang oleh para pelajar. “Kita hidup dalam dunia digital yang sangat mencabar,” ujarnya.
Beliau berharap peserta mampu membezakan antara maklumat yang boleh dipercayai dengan maklumat yang dicipta untuk memanipulasi kepercayaan khalayak, sambil menjadikan pertimbangan etika sebagai perisai dan kekuatan utama dalam mengharungi arus digital berasaskan maklumat yang sahih.
Seminar ini melabuhkan tirai dengan keyakinan baharu dalam kalangan peserta.
Para pelajar kini sedar bahawa cabaran sebenar dalam industri penyiaran bukan sekadar terletak pada kepantasan menjadi tular, tetapi pada disiplin, kebertanggungjawaban dan pertimbangan yang teliti dalam setiap keputusan.
Mereka diperkasa dengan kesedaran bahawa etika dan nilai kemanusiaan merupakan aset paling berharga yang akan membimbing mereka dalam setiap paparan dan setiap siaran.



