KUCHING: Penyanyi Ezad Lazim mengorak langkah baharu dalam kerjaya seninya selepas lebih tiga dekad berkecimpung dalam industri muzik tanah air dengan menubuhkan syarikat rakaman miliknya sendiri, EZ Record.
Ezad atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohammad Lazim, 47, berkata keputusan beralih ke bidang penerbitan muzik diambil demi menjamin masa depan serta memastikan hak milik asal dan royalti lagu-lagu baharunya kekal di bawah pengurusan sendiri.


Sebagai pembuka tirai penubuhan label yang berpusat di Kota Warisan, Sepang itu, beliau melancarkan single terbaharu berjudul Rasa Cinta ciptaan bersama isterinya, Zeana Ramli, dengan kerjasama Sony Music Entertainment bagi tujuan pengedaran.
Menurut Bernama, vokalis kumpulan Exists itu turut memulakan inisiatif mencungkil bakat baharu dengan memperkenalkan dua artis naungan label berkenaan, iaitu Tika Nasir dan Adree, tanpa mengenakan ikatan pengurusan yang ketat bagi memberi ruang mereka meneroka pasaran.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau merancang untuk berkolaborasi dengan bekas vokalis Exists, Mamat, menerusi satu projek lagu duet khas bergenre pop balada klasik yang turut dibantu rakan pemuzik seperti Along dan Ujang bagi susunan muzik.



