KUCHING: Meskipun dihimpit kesibukan tugas rutin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof meluangkan masa menziarahi jurugambar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Razali Nordin yang kini menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS), hari ini.
Kehadiran beliau bersama isteri, Datin Amar Ruziah Mohd Tahir nyata mencetuskan kegembiraan kepada Razali yang sekian lama berdepan masalah kesihatan sehingga menjejaskan keupayaannya untuk bergerak.
Sebelum ini, beliau hanya terlantar di kediamannya di Taman Sukma, Petra Jaya sejak Ramadan lalu.
Dalam pertemuan tersebut, Fadillah turut menasihatkan Razali supaya terus menjaga kesihatan dengan mematuhi segala arahan doktor, termasuk mengambil ubat mengikut jadual yang ditetapkan.
Beliau pada masa sama turut mengingatkan masyarakat, khususnya pengamal media agar sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat bagi mengelakkan masalah kesihatan serius.
Sebelum ini, atas keprihatinan rakan-rakan media, Razali telah dibawa ke hospital pada Jumaat lalu untuk mendapatkan rawatan lanjut selepas keadaan kesihatannya semakin merosot.
Proses kemasukan ke hospital itu dipermudahkan dengan bantuan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Khui Hian yang mempercepatkan urusan berkaitan.
Razali kini berdepan beberapa komplikasi kesihatan serius termasuk masalah injap jantung, batu dalam hempedu, gangguan fungsi buah pinggang serta diabetes, sekali gus memerlukan kekuatan fizikal dan emosi untuk terus berjuang melawan penyakit.






