KUCHING: Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof bersetuju menyalurkan peruntukan sebanyak RM60,000 bagi menjayakan Program Kem Ihya Ramadan tahun depan untuk pelajar di kawasan Parlimen Petra Jaya.
Beliau berkata peruntukan itu diluluskan selepas pihak penganjur mengemukakan kertas kerja lengkap memandangkan program tersebut penting dalam usaha memperkukuh pengisian Ihya Ramadan serta pembangunan sahsiah golongan muda.
Katanya, program Ihya Ramadan penting dalam usaha membentuk sahsiah, jati diri dan kepimpinan golongan muda agar mereka mampu menjadi generasi berkarisma serta pemimpin masa hadapan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Kem Ihya Ramadan 2026 Siri Ke-11 di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Fadillah berkata masyarakat kini berdepan cabaran lebih besar berikutan perkembangan teknologi yang pesat termasuk kecerdasan buatan (AI) dan penggunaan telefon pintar yang menjadikan pelbagai maklumat berada di hujung jari.
Walaupun teknologi membawa banyak manfaat, ia juga boleh memberi kesan negatif kepada kesejahteraan sosial sekiranya tidak digunakan dengan baik.
“Antara cabaran yang perlu diberi perhatian ialah pengaruh negatif dalam talian seperti perjudian dan kandungan melalaikan yang boleh menjejaskan kehidupan masyarakat, khususnya golongan muda,” tambahnya.
Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berharap semua pihak yang terlibat dalam program berkenaan terus berjaya serta mampu melahirkan generasi muda yang berilmu, berakhlak dan berwibawa demi kesejahteraan masyarakat pada masa hadapan.
Katanya, pendedahan melalui program seperti itu boleh menjadi platform awal menggalakkan penglibatan belia dalam aktiviti kesukarelawanan seperti Sarawak Volunteers.
“Melalui platform tersebut, golongan muda bukan sahaja dapat menyumbang kepada masyarakat malah memperoleh pengalaman berharga yang membantu membentuk jati diri serta semangat kepimpinan,” ujarnya.
Seramai 96 pelajar daripada 10 buah sekolah sekitar Kuching menyertai Kem Ihya Ramadan pada tahun ini.
Penganjuran itu turut mendapat sokongan daripada Pusat Khidmat Parlimen Petra Jaya, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Tabung Baitulmal Sarawak, WLWS Resources dan Yayasan OBYU.


