KUCHING: Pembentangan cadangan persempadanan semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dijangka hanya dapat dibawa ke Parlimen pada tahun hadapan, bergantung kepada proses dan prosedur yang sedang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, berdasarkan maklumat daripada SPR, proses berkenaan masih berada pada peringkat awal, termasuk bagi tujuan pameran kepada umum sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
Katanya, selepas proses pameran dijalankan, orang awam akan diberikan ruang untuk mengemukakan bantahan atau maklum balas mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Proses dan prosedur itu sahaja mungkin tidak memenuhi tempoh, jadi besar kemungkinan cadangan itu hanya dapat dibawa ke Parlimen pada tahun hadapan,” katanya ketika ditemu bual media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Insentif Pelajar Cemerlang RISE di SMK Sains Kuching Utara, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai tempoh pembentangan, Fadillah berkata, ia bergantung sepenuhnya kepada SPR sebagai badan bebas yang mengendalikan urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya.
“Itu di bawah bidang kuasa SPR. Kita tidak campur dalam urusan mereka,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa SPR mempunyai prosedur tersendiri, termasuk keperluan kajian berkaitan demografi dan proses berkaitan sebelum sebarang cadangan dimuktamadkan.
Pada Julai tahun lalu, DUN Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang untuk menambah bilangan kerusi daripada 82 kepada 99.
DUN Sarawak ketika ini mempunyai 82 kerusi selepas proses persempadanan semula terakhir yang dilaksanakan pada 2015, yang menyaksikan pertambahan daripada 71 kepada 82 kerusi.
Pada Julai tahun lalu, DUN Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang bagi menambah bilangan kerusi kepada 99.
Namun, pelaksanaan penambahan tersebut masih belum berkuat kuasa kerana tertakluk kepada proses persempadanan semula oleh SPR, termasuk pameran kepada umum, semakan bantahan serta kajian semula kawasan pilihan raya.
Selepas proses tersebut selesai, cadangan berkenaan perlu dibentangkan di Parlimen untuk kelulusan sebelum boleh diwartakan dan dilaksanakan secara rasmi dalam pilihan raya akan datang.



