KUCHING: Pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali merupakan kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga dan sahabat handai, malah seluruh rakyat Malaysia serta negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, Allahyarhamah menabur bakti besar sepanjang hayat, termasuk dalam bidang kesihatan, kebajikan masyarakat, pendidikan serta pembangunan wanita dan keluarga.
“Keprihatinan, kesederhanaan dan ketokohan beliau akan sentiasa dikenang sebagai sebahagian daripada sejarah serta perjalanan pembangunan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau turut menyampaikan salam takziah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad serta seluruh ahli keluarga dan mendoakan mereka diberikan kekuatan, ketabahan serta kesabaran menghadapi kehilangan itu.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Allahyarhamah akan dikenang sebagai tokoh wanita yang dihormati dan dekat di hati rakyat Malaysia.
Katanya, Allahyarhamah turut dikenang atas khidmatnya sebagai doktor serta keprihatinan terhadap kesejahteraan masyarakat.
“Kelembutan, kesederhanaan dan keteguhan beliau sepanjang hayat menjadikan Allahyarhamah insan yang disayangi serta menjadi contoh teladan kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Kedua-dua Timbalan Perdana Menteri turut mendoakan agar Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarhamah, menerima amal kebajikannya dan menempatkan roh beliau dalam kalangan orang beriman serta beramal soleh.



