BARU-BARU ini, media melaporkan terdapat premis yang berdepan tindakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kerana enggan menjual barangan pada harga RM11.50 yang dipamerkan.
Peniaga terbabit tetap mengenakan bayaran RM13.20 kepada pelanggan iaitu RM1.70 lebih tinggi daripada harga yang dipamerkan.
Tindakan tersebut merupakan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(a) Akta Perlindungan Pengguna 1999 kerana memberikan gambaran yang mengelirukan berhubung harga barang yang dipamerkan untuk perdagangan.
Situasi sama saya lalui pada minggu lepas ketika membeli barangan di sebuah pusat beli-belah di Kuching apabila harga yang dipamerkan jauh berbeza berbanding harga ketika di kaunter pembayaran.
Bukan RM1.70, tetapi RM30. Harga yang dipamerkan hanya RM60 meningkat menjadi RM90 ketika pembayaran.
Saya bernasib baik kerana penyelia untuk barangan tersebut faham hak pengguna yang dinyatakan KPDN.
Hak pengguna ialah satu bentuk peraturan yang dibuat oleh kerajaan bagi melindungi hak serta kepentingan para pengguna.
Dalam situasi ini, saya berhak mendapatkan harga lebih rendah kerana harga barangan yang dipamerkan di rak berbeza dengan harga dikenakan ketika membuat pembayaran di kaunter.
Tiada keributan berlaku kerana masing-masing memahami situasi dan penyelia terus mengarahkan juruwang untuk menetapkan harga seperti yang dipamerkan pada bahagian pembungkusan tersebut.
Sebagai pengguna, kita perlu menyedari dan memahami hak tersebut agar boleh bertindak dengan wajar sekiranya ia berlaku pada masa akan datang.
Di bawah Garis Panduan Penandaan Harga, sekiranya terdapat dua harga berbeza bagi barang yang sama, hak kita sebagai pengguna ialah mendapatkan harga yang lebih rendah. Dua harga berbeza bagi barangan sama.
Sekiranya peniaga menafikan hak tersebut, pengguna disaran mengambil gambar tanda harga di rak dan menyimpan resit sebagai bukti.
LAPAN HAK PENGGUNA
Setiap pengguna berhak untuk mendapatkan barangan keperluan asas seperti beras, gula, minyak masak, ubat dan sebagainya.
Ini paling asas.
Sekiranya peniaga menyembunyikan barangan tersebut dengan tujuan menaikkan harga, kita boleh lapor terus kepada KPDNHEP.
Seterusnya, hak mendapat barangan dan perkhidmatan yang selamat.
Pengguna berhak untuk dilindungi daripada barangan, proses pengeluaran dan perkhidmatan yang boleh membahayakan kesihatan atau kehidupan.
Pengguna juga berhak untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan bagi membolehkan mereka membuat pilihan yang tepat dan dilindungi daripada pengiklanan serta pelabelan yang tidak jujur atau mengelirukan.
Paling umum ialah hak untuk membuat pilihan.
Pengguna berhak memilih pelbagai barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan di pelbagai lokasi.
Sebagai pengguna, kita juga berhak untuk memberikan pandangan, cadangan, mahupun aduan ke atas barangan atau perkhidmatan yang diterima.
Seterusnya ialah hak untuk mendapatkan ganti rugi.
Menurut perkongsian laman rasmi KPDN, pengguna diberikan kuasa untuk menuntut pampasan sekiranya barangan atau perkhidmatan yang dibeli rosak atau gagal berfungsi dan tidak memenuhi ciri-ciri seperti diiklankan.
Macam mana nak tuntut?
Hubungi peniaga dan cuba selesaikan secara baik terlebih dahulu.
Jika peniaga enggan bertanggungjawab, bawa kes tersebut ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) berdekatan atau failkan secara dalam talian.
Pastikan anda simpan resit pembelian dan kumpul bukti yang mencukupi.
Hak ketujuh adalah untuk mendapat pendidikan dan kemahiran yang diperlukan bagi membolehkan pengguna membuat pilihan yang bijak dalam pembelian barangan dan perkhidmatan.
Akhir sekali hak untuk mendapatkan alam sekitar yang sihat dan selamat.
Pengguna berhak hidup dan bekerja dalam alam sekitar yang bersih dan sihat.
Kadang-kadang kita terlepas pandang dengan hak yang sepatutnya melindungi kita sebagai pengguna.
Diharapkan dengan perkongsian ini kita mampu menjadi pengguna yang bijak dan berpengetahuan.
Jangan takut untuk bertanya, menegur atau membuat aduan apabila hak kita diketepikan.
Hak pengguna bukan sekadar untuk dibaca, tetapi perlu difahami dan digunakan dengan bijak supaya setiap urusan pembelian berlangsung secara adil, telus dan bertanggungjawab.



