ARTIKEL

Fahami mesej tersirat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

NOVEL remaja Eris membawa pembaca berimaginasi di alam sains dan teknologi serba moden bagi mencari penyelesaian di planet Eris untuk sebuah misi khas. Novel ini bukan sekadar fiksyen, tetapi membawa pembaca menelusuri perjuangan watak membuat persiapan dan kajian bagi membina kehidupan baharu di planet lain.

Penulis membawa pembaca ke alam moden menggunakan teknologi sepenuhnya serta masih mengutamakan agama dalam semua kegiatan dilakukan. Walaupun sibuk dalam dunia penyelidikan dan sebagainya, kewajipan menunaikan tuntutan Islam masih diketengahkan sepanjang penceritaan.

Pada permulaan cerita, sekumpulan penyelidik membuat persiapan rapi terhadap saintis muda yang akan dihantar ke Eris untuk meneruskan penyelidikan membina penempatan baharu. Saintis muda ini terdiri daripada Adam, Marx, Sakura, Sarah dan Jason serta 100 peserta seluruh dunia merupakan remaja berumur 13 hingga 20 tahun.

Persiapan dan latihan intensif dibuat di Pusat Aeroangkasa di Cyberputra diketuai Pengerusi Lembaga Pengarah Pusat Aeroangkasa Profesor Syed dan ketua misi Doktor Zulkarnain yang lebih dikenali sebagai Doktor Zul.

Pemilihan peserta dibuat lebih ketat dengan mengambil kira faktor DNA, IQ dan EQ yang berkualiti tinggi. Peserta menjalani pelbagai latihan sebagai langkah persediaan ke angkasa seperti simulasi graviti dan latihan fizikal. Peserta juga dibawa ke rumah hijau untuk menunjukkan keadaan satu-satunya baka balak yang berjaya dikekalkan tetapi tidak mencapai 100 peratus tumbesaran atas faktor kekurangan oksigen dan mutasi genetik yang menyebabkan terbantut.

Doktor Zul juga menekankan tugas peserta di Eris yang perlu mengkaji tumbesaran tumbuhan yang akan dibawa dan mengekalkan genetik tumbuhan seperti yang dibuat di bumi.

Misi Eris merupakan kesinambungan usaha yang dijalankan Profesor Syed dan Doktor Zul setelah berjaya menjumpai planet yang mempunyai geopolitik dan iklim menyerupai 10 tahun lepas.

Setelah menjalani latihan simulasi di dalam pesawat, peserta diberi keizinan menghubungi keluarga mereka sebelum berangkat ke Eris.

Adam menggunakan kesempatan ini untuk berjumpa dengan ayahnya, iaitu Doktor Zul sebelum berangkat. Walaupun terpancar kebimbangan di wajahnya, Doktor Zul yakin Adam akan berjaya dalam misinya dan membuktikan tanggungjawabnya sebagai seorang pemimpin. Adam diberi kepercayaan oleh kebanyakan pakar bagi misi Eris ini kerana menunjukkan potensi sangat baik sepanjang latihan dijalankan.

Perjalanan ke Eris mengambil masa lebih 10 jam setelah berhenti di ISS bagi tujuan laporan. Kepantasan FZ144 menjadikan perjalanan ke Eris tidak terasa dengan pendaratan yang selamat.

Keadaan di Eris agak berbeza daripada bumi kerana kedudukan yang jauh dari cahaya matahari dan saiz yang agak kecil dari bumi. Masanya pula lebih singkat berbanding bumi, iaitu selama 15 jam. Suhu di Eris juga tidak menentu kerana pada waktu pagi akan terang disebabkan matahari dan pada waktu malam akan terasa sejuk sehingga turunnya salji.

Sebelum dibahagikan ke kumpulan masing-masing, peserta dibawa mengelilingi Eris untuk meninjau beberapa infrastruktur yang telah dibina dengan menaiki Satria 007, sebuah kenderaan yang menggunakan daya graviti.

Antara kawasan yang dibawa seperti tasik yang digali sendiri untuk penyimpanan bekalan air, binatang yang dibela seperti harimau, ayam dan banyak lagi.

Adam pula dilantik sebagai ketua penyelaras yang ditempatkan di bilik kawalan utama dan memantau semua data tumbuhan dan haiwan yang telah dikumpulkan di bawah bimbingan Kapten Lawrence.

Adam menerima beg hitam yang merupakan amanat daripada Profesor Syed. Di dalam beg tersebut terkandung segala maklumat dan dokumen berkenaan dengan misi tersebut.

Yang mengejutkan, Profesor Syed sendiri menjelaskan bahawa setiap kehidupan seperti haiwan dan tumbuhan tidak akan dapat hidup dalam masa yang lama disebabkan kekurangan tenaga yang diperlukan dan kemungkinan misi ini akan gagal.

Marx, Sakura dan Sarah yang mendapat tahu berita tersebut agak kecewa dan beranggapan bahawa misi hanya sia-sia jika tidak ada jalan penyelesaian.

Bagi Adam, dia akan terus mencari jalan untuk memastikan misi ini berjalan dengan lancar dan penduduk bumi boleh hidup dengan aman di Eris.

Ketika pemantauan sedang dijalankan, Kapten Lawrence mendapat amaran bahawa gerhana matahari akan berlaku, lalu memberi arahan untuk mempersiapkan segala kemungkinan bencana yang akan menimpa.

Ketika gerhana matahari berlaku, Eris akan berada dalam keadaan yang sangat sejuk dan setiap pusat memerlukan banyak tenaga.

Tanpa disangka mereka berhadapan dengan satu bencana yang tidak diduga apabila berlaku ribut salji yang kuat sehingga menyebabkan kerosakan teruk pada semua fasiliti, tumbuhan dan haiwan yang dijaga juga mati.

Paling menyayat hati apabila terdapat petugas yang meninggal dunia dan salah seorangnya ialah Kapten Lawrence. Adam mengambil alih tugas sebagai pemimpin dan mencari jalan agar misi ini tidak terus tergendala.

Mereka berhadapan pelbagai masalah seperti kekurangan makanan, tenaga dan timbul sedikit pergaduhan. Namun, pergaduhan sesama mereka tidak akan memberikan jalan penyelesaian.

Jason memberikan pendapat untuk pulang semula ke bumi sebelum segala usaha menjadi sia-sia jika mereka meninggal di planet yang tidak mempunyai sebarang sumber.

Adam menerima baik cadangan tersebut dan membawa semua yang terselamat pulang ke bumi walaupun terputus hubungan dengan pusat.

Pemanduan yang memenatkan bagi Adam berakhir apabila mereka selamat mendarat di bumi dan disambut oleh Profesor Syed dan Doktor Zul. Semua peserta kembali ke pangkuan keluarga dan Adam membentangkan hasil dapatan mereka di Eris bagi membantu untuk menyelamatkan bumi.

Setiap teknologi yang telah digunakan di Eris telah diaplikasikan di bumi. Teknologi yang dibina telah banyak membantu tumbesaran tumbuhan di bumi sekali gus menyelamatkan bumi yang hampir mati.

Sepuluh tahun berlalu, semuanya telah berubah. Adam dilantik menjadi pengarah Pusat Aeroangkasa dan mendapat kepercayaan yang penuh dari Lembaga Pengarah untuk mengetuai setiap projek yang dijalankan. Sarah dilantik sebagai timbalan pengarah. Manakala, peserta lain dilantik sebagai pengerusi Cawangan Aeroangkasa di negara masing-masing.

Cerita ini membuktikan bahawa sehebat mana teknologi yang dibina untuk memastikan manusia dapat hidup di planet Eris tersebut tidak ada yang akan dapat menandingi kuasa Allah yang telah menciptakan bumi bagi manusia hidup.

Ayat menarik yang dikatakan oleh Adam sangat memberikan kesan, iaitu “Apabila iman kita bertambah, kita mendapat tahu bahawa Allah Maha Kuasa dan Maha Hebat.” Realiti daripada kisah ini memang betul, sehebat mana pun dunia sekarang kita masih tidak dapat menandingi kuasa Allah SWT.

Semakin kita membuat kajian, semakin tebal keimanan kita. Novel ini bukan sekadar satu imaginasi kepada pembaca tetapi ada mesej tersirat perlu difahami dan dijadikan iktibar.

BERITA LAIN

Berdamai dengan luka kehidupan

Tajuk: Catatan Hidup Seorang Perempuan yang Hampir Berputus Asa Penulis: Arlina Arshad Penerbit: IMAN Publication Jumlah halaman: 178 muka surat Catatan Hidup Seorang Perempuan yang

Bukan sekadar kisah cinta

Judul buku: Kita Cuma Kawan, Kan? Penulis: Auni Zainal Tahun terbit: 2024 Jumlah muka surat: 544 Harga: Rm34.00 Pengulas: Prisca Robin  Setebal 544 muka surat,

BERITA TERBARU