Fahami psikologi lelaki dan wanita

KUCHING: Institusi kekeluargaan yang kukuh membantu pembentukan masyarakat cemerlang, sekali gus menyumbang kepada kemajuan negara.

Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Noriah Ahmad berkata, keluarga sangat penting dalam kehidupan yang mampu menjadi punca sesebuah negara maju atau mundur.

Menurutnya, atas sebab itu Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak mengambil inisiatif memperkenalkan program kekeluargaan di bawah Teras Dua Pemantapan Institusi Keluarga iaitu Program Till Jannah: Smart Marriage.

Tambah Noriah, program itu diadakan bermula pada 2017 melibatkan empat siri program diadakan sekitar Kuching.

“Program ini mampu memberi banyak manfaat kepada peserta dan dipersetujui 98 peratus peserta.

“Mereka bersetuju program ini dapat membantu mereka menambah baik perkahwinan mereka,” katanya pada majlis perasmian penutupan program tersebut di BCCK, semalam.

Noriah berkata, program itu tidak hanya memberi tumpuan khas untuk peserta yang sudah mendirikan rumah tangga, tetapi juga peserta yang belum berkahwin.

Pada 2018, program itu dipertingkatkan kepada enam siri yang diadakan di Lundu, Sarikei, Dalat, Sibu, Miri dan Limbang, jelasnya.

Pada 2019 tambahnya, 140 peserta mengikuti program itu di Bintulu, Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Matu/Daro dan Lawas.

“Program ini diadakan untuk membantu peserta memahami psikologi diri lelaki dan wanita. Di samping itu, peserta dapat mengetahui teknik komunikasi gaya Milton dan Gestalt bersama pasangan.

“Malah, mereka berpeluang menguasai teknik Self-Help Pattern untuk pengurusan konflik diri dan pasangan menggunakan extrak teknologi Neuro Semantics dan Neuro Linguistic Programming (NLP),” katanya.