Ilmu hadis merupakan cabang ilmu yang amat penting dalam Islam selain ilmu al-Quran.
Dari sudut bahasa, hadis bermaksud khabar atau percakapan.
Dari segi istilah pula, ilmu hadis merujuk kepada segala sesuatu yang disandarkan kepada Rasulullah SAW, sama ada dari segi perkataan, perbuatan mahupun pengakuan atau persetujuan Baginda terhadap sesuatu perkara.
Hadis juga merupakan sumber hukum kedua dalam Islam selepas al-Quran.
Ilmu hadis berperanan untuk memahami, mengkaji dan menilai kesahihan sesuatu hadis agar umat Islam dapat membezakan antara hadis sahih, hasan dengan daif.
Mempelajari ilmu hadis bukan sahaja dapat menambahkan pengetahuan agama, malah menjadi panduan kepada umat Islam dalam menjalani kehidupan seharian.
Oleh itu, terdapat pelbagai kepentingan mempelajari ilmu hadis yang perlu diberikan perhatian oleh setiap Muslim.
MEMAHAMI, MENGAMALKAN SUNNAH BAGINDA SAW
Ilmu hadis penting untuk dipelajari agar kita dapat mengamalkan sunnah Baginda SAW dengan tepat dan sempurna.
Melalui ilmu hadis, kita dapat mengetahui cara Rasulullah SAW melaksanakan ibadah seperti solat, puasa, zakat dan haji.
Selain itu, ilmu hadis turut mengajar umat Islam tentang akhlak mulia seperti amanah, sabar, jujur dan bertanggungjawab.
Perkara ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam al-Quran: “Berdasarkan al-Quran: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik pada hari akhirat serta menyebut dan mengingati Allah dengan banyak.” (Surah al-Ahzab: 21)
Rasulullah SAW merupakan contoh ikutan terbaik dalam kehidupan.
Justeru, dengan mempelajari ilmu hadis, umat Islam dapat memahami sunnah Baginda dan mengamalkannya berdasarkan sumber yang tepat.
Kesannya, kehidupan seseorang Muslim akan lebih teratur serta selari dengan tuntutan syariat Islam.
PELIHARA KESUCIAN AGAMA, JAUHI HADIS PALSU
Mempelajari ilmu hadis amat penting untuk memelihara kesucian agama Islam daripada penyelewengan dan penyebaran hadis palsu.
Pada zaman moden ini, pelbagai maklumat berkaitan agama amat mudah diperoleh melalui media sosial tanpa disertakan sumber yang sahih.
Perkara ini boleh menyebabkan masyarakat menerima dan mengamalkan sesuatu perkara yang sebenarnya tidak pernah diucapkan oleh Rasulullah SAW.
Mempelajari ilmu hadis membolehkan seseorang mengenal pasti status sesuatu hadis berdasarkan penelitian terhadap sanad dan matannya.
Ilmu ini juga membantu umat Islam memahami kaedah penilaian hadis serta mengenali perawi yang dipercayai.
Dengan demikian, penyebaran hadis palsu dapat dibendung dan masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan maklumat agama yang tidak benar.
Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya.” (Surah al-Hujurat: 6)
Ayat ini menekankan kepentingan menyelidik dan memastikan kesahihan sesuatu berita sebelum mempercayainya.
Prinsip ini amat berkait rapat dengan disiplin ilmu hadis yang sangat menitikberatkan penelitian dan pengesahan sumber agar kita tidak tergolong dalam kalangan mereka yang berdusta atas nama Baginda SAW.
Rasulullah SAW juga memberikan amaran keras terhadap perbuatan berdusta atas nama Baginda melalui sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja, maka hendaklah dia menyediakan tempat duduknya di dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menunjukkan bahawa menyebarkan sesuatu yang tidak benar atas nama Rasulullah SAW merupakan perbuatan yang sangat besar dosanya.
Oleh itu, ilmu hadis menjadi benteng penting bagi memastikan ajaran Islam terus terpelihara daripada pemalsuan.
Justeru, sewajarnya kita sebagai umat Islam mempelajari dan sentiasa memelihara ilmu hadis agar ilmu tersebut dapat diamalkan dalam kehidupan seharian serta disebarkan kepada seluruh umat Islam.


