KUALA LUMPUR menjadi saksi berakhirnya sebuah jelajah muzik bersejarah apabila penyanyi bertaraf antarabangsa The Weeknd memilih Malaysia sebagai destinasi terakhir jelajah dunia After Hours Til Dawn pada 5 November lalu.
Bagi sesetengah orang, acara itu mungkin sekadar sebuah konsert. Namun, bagi penulis yang mengikuti perkembangan muzik penyanyi kelahiran Kanada itu sejak 2015, malam berkenaan merupakan kemuncak penantian selama lebih daripada sedekad.
Siapa sangka, penyanyi yang selama ini hanya dapat didengari menerusi fon telinga dan platform penstriman muzik akhirnya dapat disaksikan secara langsung di hadapan mata.
Lebih istimewa, penulis berpeluang menyaksikan sendiri detik bersejarah apabila The Weeknd, yang nama sebenarnya Abel Makkonen Tesfaye, menutup tirai salah satu jelajah konsert paling berjaya dalam sejarah industri muzik dunia.
Bermula di Amerika Utara pada Julai 2022, jelajah berkenaan merentasi lima benua, meliputi 30 negara dan 67 bandar dengan keseluruhan 176 persembahan dalam tempoh empat tahun.

Menurut penganjur, Live Nation, jelajah tersebut mencatatkan jualan lebih daripada sembilan juta tiket dengan kutipan melebihi ASD1.3 billion, sekali gus menjadikannya jelajah konsert dengan kutipan tertinggi oleh artis lelaki dalam sejarah.
Angka tersebut bukan sekadar mencerminkan kejayaan komersial, malah memperlihatkan pengaruh luar biasa The Weeknd dalam landskap muzik kontemporari.
Konsep futuristik yang menggabungkan teknologi pencahayaan, reka bentuk pentas berbentuk T, robot gergasi dan susunan muzik sinematik menjadikan After Hours Til Dawn lebih daripada sebuah persembahan muzik biasa.
Populariti The Weeknd turut dapat diukur menerusi pencapaiannya dalam dunia digital.
Berdasarkan data penstriman Spotify yang dihimpunkan Kworb setakat 24 November lalu, lagu-lagu nyanyian dan kolaborasi penyanyi itu mencatatkan lebih daripada 100.6 bilion penstriman.
Antara lagu popularnya termasuk Blinding Lights dengan 5.69 bilion penstriman, Die for You (3.51 bilion), The Hills (3.22 bilion), Save Your Tears (2.91 bilion) dan Call Out My Name (2.55 bilion).
Penantian lebih sedekad
Perkenalan penulis dengan muzik The Weeknd bermula pada 2015 menerusi lagu The Hills daripada album Beauty Behind the Madness.
Keunikan susunan muzik, ciri vokal dan nuansa gelap yang menjadi identiti lagu tersebut meninggalkan kesan mendalam, sekali gus mendorong penulis untuk terus mengikuti perjalanan seninya.
Sejak itu, muzik The Weeknd menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup penulis, sejak zaman pengajian sehingga melangkah ke alam pekerjaan.
Berdasarkan pemerhatian penulis, sebahagian besar peminat yang hadir pada malam berkenaan terdiri daripada golongan muda, khususnya Generasi Z.
Barangkali tema cinta, kesunyian, konflik emosi dan pencarian identiti yang sering diterjemahkan menerusi karya-karyanya menjadi antara faktor yang menyebabkan muzik The Weeknd begitu dekat dengan generasi ini.
Justeru, apabila Malaysia diumumkan sebagai destinasi terakhir jelajah dunianya, peluang tersebut tidak mungkin dilepaskan begitu sahaja.

Lautan peminat di Bukit Jalil
Pada 5 November lalu, penulis bersama-sama adik berangkat seawal jam 2.00 petang menuju ke Stadium Nasional TM, Bukit Jalil.
Mengambil iktibar daripada kesesakan jalan raya dan pengangkutan awam pada malam pertama konsert, penulis memilih untuk menggunakan perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) bagi mengelakkan risiko terkandas dalam perjalanan.
Sepanjang perjalanan, suasana di dalam tren sudah cukup menggambarkan kemeriahan konsert yang bakal berlangsung.
Ramai penumpang mengenakan baju-T bertemakan The Weeknd, seolah-olah masing-masing mempunyai destinasi dan tujuan yang sama.
Menariknya, konsert selama dua malam itu menghimpunkan kira-kira 130,000 peminat, bukan sahaja dari Malaysia, malah dari pelbagai negara lain termasuk Indonesia, Thailand, Filipina dan beberapa negara Eropah.
Muzik ternyata mampu merentasi sempadan geografi, bahasa dan budaya, sekali gus menyatukan ribuan individu yang mungkin tidak pernah mengenali antara satu sama lain.
Setibanya di stesen LRT Bukit Jalil, penulis hanya perlu berjalan kaki kurang daripada lima minit untuk sampai ke stadium.
Kecekapan sistem pengangkutan awam wajar dipuji kerana memainkan peranan penting dalam melancarkan pergerakan puluhan ribu pengunjung ke acara berskala antarabangsa itu.
Suasana di sekitar stadium tidak ubah seperti suasana sebuah festival muzik. Ada yang merakam gambar bersama-sama rakan dan pasangan, manakala sebahagian peminat tampil dengan gaya busana yang mendapat inspirasi daripada identiti visual The Weeknd. Kot merah yang sinonim dengan era After Hours, jubah serta pelbagai aksesori bertemakan album penyanyi berkenaan mencuri perhatian.
Reruai jualan barangan rasmi konsert turut menjadi tumpuan dengan pelbagai pilihan baju-T, baju panas berhud, rantai kunci dan cenderamata eksklusif. Malah, ada peminat yang sanggup beratur sejak pagi semata-mata untuk mendapatkan barangan artis kesayangan mereka sebagai kenang-kenangan.
Lebih menggembirakan, penulis turut terserempak dengan beberapa kenalan dari Sarawak, termasuk rakan sekelas ketika mengikuti pengajian pada peringkat sarjana muda dalam bidang komunikasi massa dan multimedia di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam.
Tidak disangka, minat terhadap muzik mempertemukan semula penulis dengan rakan yang sudah lama tidak bersua.
Realiti sebuah impian
Menjelang jam 5.00 petang, penulis mula beratur untuk memasuki stadium. Syukur, segala urusan pemeriksaan tiket dan kemasukan berjalan lancar.
Sebaik sahaja melangkah masuk ke stadium, penulis diselubungi perasaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Pentas yang selama ini hanya dapat disaksikan menerusi rakaman video di media sosial kini terbentang luas di hadapan mata.
Impian yang dipendam selama bertahun-tahun akhirnya menjadi kenyataan. Meskipun harga tiket agak tinggi, penulis menganggap perbelanjaan tersebut berbaloi demi memperoleh pengalaman yang belum tentu dapat diulangi.
Jika dahulu penulis hanya mampu memasang impian untuk menyaksikan persembahannya secara langsung, kini, setelah melangkah ke alam pekerjaan, impian tersebut akhirnya dapat direalisasikan dengan hasil titik peluh sendiri.
Menjelang jam 6.00 petang, penulis sudah berada di tempat duduk yang diperuntukkan di Seksyen 106.
Kedudukan tersebut memberikan sudut pandangan yang cukup memuaskan, membolehkan penulis menyaksikan keseluruhan pentas, skrin gergasi dan arca robot futuristik hasil karya seniman Jepun, Hajime Sorayama, tanpa sebarang halangan.
Arca yang menjadi antara identiti visual jelajah berkenaan menyerlahkan gabungan seni, teknologi dan imaginasi dalam sebuah produksi muzik berskala besar.
Sebelum The Weeknd muncul, penonton dihiburkan dengan persembahan dua artis undangan dari Jepun, iaitu DJ Yousuke Yukimatsu dan duo hip hop Creepy Nuts.
Kedua-duanya berjaya memeriahkan suasana menerusi persembahan bertenaga dengan identiti muzik tersendiri.
Penantian itu akhirnya berakhir sekitar jam 9.00 malam apabila kemunculan The Weeknd di pentas disambut sorakan gemuruh puluhan ribu penonton.
The Weeknd membuka tirai persembahan menerusi lagu Baptized in Fear dengan mengenakan topeng ikonik. Pancaran cahaya laser dan kemunculan barisan penari berjubah merah turut mencetuskan suasana dramatik.
Dalam sekelip mata, seluruh stadium berubah menjadi sebuah ruang persembahan yang menggabungkan elemen muzik, teater, teknologi dan seni visual.
Keistimewaan konsert ini bukan sahaja terletak pada kemegahan pentas dan kecanggihan sistem pencahayaan, tetapi juga pada ketelitian dalam menyusun setiap elemen persembahan.
Antara aspek yang paling mencuri perhatian penulis ialah teknik peralihan antara lagu yang begitu lancar.
Setiap lagu disambungkan dengan susunan muzik dan kesan visual yang saling melengkapi, seolah-olah penonton sedang mengikuti sebuah karya sinematik yang panjang.
Daripada After Hours, Starboy dan The Hills hinggalah São Paulo, Die for You serta Blinding Lights, setiap persembahan mempunyai keistimewaan dan kekuatan tersendiri.
Lebih mengagumkan, keupayaannya mengekalkan mutu vokal sepanjang persembahan membuktikan kejayaannya bukan sekadar bersandarkan populariti lagu, tetapi juga kemampuan menyanyi secara langsung.
Di sebalik kemegahan produksi itu, The Weeknd turut memperlihatkan keakrabannya dengan peminat menerusi interaksi secara langsung.
Ketika menyampaikan lagu Out of Time, beliau mendekati peminat yang berada di sepanjang penghadang keselamatan berhampiran pentas sebelum memberikan peluang kepada beberapa peminat bertuah untuk menyanyi bersamanya.
Bagi seorang artis bertaraf dunia, interaksi tersebut mungkin hanya berlangsung selama beberapa saat. Namun, bagi peminat yang terpilih, detik itu pastinya menjadi kenangan sepanjang hayat.

Penutup sebuah era
Selepas hampir dua jam beraksi dengan menyampaikan puluhan lagu daripada pelbagai era perjalanan seninya, The Weeknd akhirnya menutup persembahan menerusi lagu Moth to a Flame.
Alunan vokal yang bertenaga, permainan cahaya dan pancaran bunga api yang menghiasi langit di atas stadium menjadi penutup sempurna kepada sebuah jelajah yang berlangsung selama lebih daripada empat tahun.
Malam itu bukan sekadar menandakan berakhirnya sebuah konsert di Kuala Lumpur, tetapi turut menjadi noktah kepada jelajah muzik yang merentasi lima benua dan menghiburkan jutaan peminat di seluruh dunia.
Lebih menyentuh perasaan, penyanyi berkenaan berkemungkinan meninggalkan nama pentas The Weeknd untuk membuka lembaran baharu dalam perjalanan seninya sebagai Abel Tesfaye.
Apakah selepas ini dunia akan mengenalinya dengan nama sebenar? Atau adakah beliau bakal kembali dengan identiti dan pendekatan muzik yang berbeza? Hanya masa yang akan menentukan.
Namun, satu perkara yang pasti, pengalaman menyaksikan After Hours Til Dawn secara langsung akan terus terpahat dalam ingatan penulis.
Sebelas tahun lalu, penulis mengenali The Weeknd hanya menerusi sebuah lagu. Sebelas tahun kemudian, penulis berdiri dalam kalangan puluhan ribu peminat, menyaksikan sendiri berakhirnya sebuah jelajah muzik bersejarah.
Harga tiket mungkin boleh dihitung, namun pengalaman, kegembiraan dan kenangan yang tercipta pada malam itu tidak ternilai harganya.
Terima kasih, The Weeknd, kerana memilih Malaysia sebagai noktah sebuah perjalanan muzik yang luar biasa.



