DALAM kehidupan, ada kalanya kita perlu melalui pelbagai kesukaran sebelum dapat menikmati sesuatu yang menggembirakan. Namun, di sebalik setiap kesukaran itu, terselit pengalaman dan pengajaran yang mungkin lebih berharga daripada kegembiraan yang kita cari.
Seperti yang dikongsikan dalam kolum minggu lalu, penulis berpeluang menghadiri dua konsert kumpulan muzik kegemaran, iaitu My Chemical Romance (MCR) dan Simple Plan di Kuala Lumpur.
Kedua-duanya menjadi detik manis buat penulis. Bagaimanapun, di sebalik kegembiraan tersebut, terdapat rentetan peristiwa yang menguji kesabaran, ketahanan fizikal dan mental penulis.
Semuanya bermula pada 19 November lalu apabila penulis tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) sekitar jam 4.00 petang sebagai penumpang menunggu (standby passenger) untuk ke Kuala Lumpur.
Malangnya, semua penerbangan ke ibu negara penuh. Selepas hampir lima jam menunggu tanpa sebarang perkembangan positif, penulis mengambil keputusan untuk pulang ke rumah sebelum mencuba nasib sekali lagi pada awal pagi berikutnya.
Seawal jam 2.00 pagi, penulis kembali ke lapangan terbang. Namun, keadaan masih tidak berubah dan penulis diminta menunggu sehingga jam 12.00 tengah hari.
Kegelisahan mula menyelubungi diri. Konsert MCR dijadualkan bermula pada jam 8.30 malam, sedangkan penulis masih berada di Kuching.
Hampir sahaja penulis berputus asa dan mengambil keputusan untuk menjual tiket konsert berkenaan.
Namun, rezeki tidak pernah salah alamat. Sebuah penerbangan mempunyai satu tempat duduk kosong yang akhirnya dapat diisi oleh penulis.
Alhamdulillah, penulis selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 4.00 petang.
Selepas mendapatkan kunci kereta daripada adik yang bekerja di KLIA, penulis bergegas menuju ke kediamannya.
Kesesakan lebuh raya bagaimanapun menyebabkan penulis hanya tiba di rumah adik pada jam 6.00 petang.
Tanpa membuang masa, penulis membersihkan diri dan bersiap sebelum memandu ke Stesen MRT Putrajaya Sentral untuk meletakkan kereta dan meneruskan perjalanan menggunakan pengangkutan awam.
Tepat pada jam 8.20 malam, penulis tiba di Stadium Nasional TM, Bukit Jalil, hanya 10 minit sebelum persembahan bermula.
Tubuh terasa lesu, fikiran pula dibelenggu keletihan. Namun, sebaik sahaja MCR memulakan persembahan, segala kepenatan itu seakan-akan lenyap.
Penulis akhirnya dapat menikmati sesuatu yang diperjuangkan sejak petang sebelumnya.
Kebaikan warga Bangladesh
Konsert berakhir sekitar jam 11.00 malam. Kebetulan penulis bertemu dengan seorang sahabat, Izzat Iskandar, yang bermurah hati menghantar penulis kembali ke Stesen MRT Putrajaya Sentral.
Di situlah episod baharu bermula. Penulis baru menyedari bayaran tempat letak kereta hanya boleh dibuat menggunakan kad Touch ‘n Go, sedangkan baki kad tidak mencukupi.
Selepas mendapatkan maklumat daripada pengawal keselamatan, penulis berjalan mencari mesin tambah nilai di sekitar stesen yang ketika itu begitu sunyi, seolah-olah berada dalam babak sebuah filem zombi.
Apabila mesin berkenaan ditemukan, timbul pula masalah lain. Mesin itu hanya menerima wang tunai, sedangkan penulis tidak membawa wang tunai walau sesen pun.
Dalam keheningan malam, penulis terdengar bunyi mesin pembersih lantai.
Kelihatan dua pekerja pembersihan warga Bangladesh sedang menjalankan tugas.
Tanpa segan, penulis menghampiri mereka untuk meminta bantuan.
Salah seorang daripada mereka menghulurkan RM20 tanpa banyak soal.
Namun, ketika hendak membayar semula wang tersebut, kedua-dua aplikasi perbankan penulis sedang menjalani penyelenggaraan.
Dalam keadaan serba salah, penulis meminta kod QR perbankannya untuk membuat pembayaran kemudian. Mujur beliau bersetuju.
Pertolongan kecil itu mungkin tidak membawa makna besar kepada sesetengah orang, tetapi bagi penulis yang berada dalam kesulitan pada awal pagi, nilainya jauh melebihi RM20.
Hakikatnya, kebaikan tidak mengenal bangsa, bahasa, kewarganegaraan mahupun kedudukan seseorang.
Dugaan belum berakhir
Selepas berjaya keluar dari bangunan tempat letak kereta, penulis sekali lagi menuju ke KLIA untuk menjemput adik yang selesai bekerja.
Ketika melalui laluan yang gelap, kereta dipandu penulis terlanggar sebuah lubang besar. Beberapa minit kemudian, kedengaran bunyi yang mencurigakan.
Penulis memberhentikan kereta di tepi jalan untuk memeriksa keadaannya. Ternyata, tayar kereta bocor.
Jam ketika itu sudah menunjukkan jam 4.00 pagi. Mujurlah kereta berkenaan dilengkapi peralatan untuk menukar tayar.
Namun, macam-macam perkara buruk bermain dalam fikiran penulis. Antaranya, bimbang akan dirompak.
Dalam tempoh kurang daripada setengah jam, penulis berjaya menukar tayar sebelum meneruskan perjalanan ke KLIA.
Setibanya di sana, penulis menyerahkan tugas memandu kepada adik kerana terlalu letih.
Apabila dikenang kembali, perjalanan itu bukan sekadar mengenai usaha menghadiri sebuah konsert.
Ia juga mengajar penulis tentang kesabaran, ketabahan, persahabatan, kepentingan membuat persediaan dan nilai kemanusiaan.
Kita sering merancang perjalanan dengan harapan segala-galanya berjalan lancar. Namun, kehidupan tidak sentiasa mengikut aturan yang kita kehendaki.
Kadangkala, perkara yang tidak dirancang itulah yang memberikan pengajaran paling bermakna.
Mungkin suatu hari nanti, penulis akan terlupa susunan lagu yang dimainkan oleh MCR pada malam berkenaan.
Namun, penulis pasti tidak akan melupakan sahabat yang sudi membantu, pekerja pembersihan warga Bangladesh yang menghulurkan RM20 dan pengalaman menukar tayar dalam kegelapan awal pagi.
Konsert itu memberikan kegembiraan, tetapi perjalanan untuk menikmatinya memberikan pengajaran tentang kehidupan.



