HONG KONG: Pada Khamis, orang ramai terus datang dan meletakkan bunga di lokasi kebakaran dahsyat yang memusnahkan sebuah kompleks pangsapuri di Hong Kong dan mengorbankan 168 nyawa setahun lalu, sementara pihak berkuasa di wilayah China itu memberi amaran agar tidak mencetuskan sebarang tindakan yang mencetuskan kekacauan.
Kebakaran bangunan kediaman paling dahsyat di dunia sejak 1980 itu bermula pada petang 26 November 2025 di Wang Fuk Court dan marak selama dua hari, dengan api berwarna jingga serta asap hitam dapat dilihat dari jarak beberapa kilometer jauhnya.
Setahun kemudian, pihak berkuasa di Hong Kong dilihat mengambil langkah berjaga-jaga agar acara peringatan tidak bertukar menjadi perhimpunan bersifat politik. Beberapa upacara keagamaan telah diadakan meskipun tiada acara peringatan rasmi dirancang.
Orang ramai terus datang untuk meletakkan jambangan bunga di sebuah taman kecil yang terletak berhampiran bangunan yang musnah akibat kebakaran itu, sementara pihak polis memantau keadaan secara tidak menonjol.
“Pada mulanya, saya sangka mereka akan menyediakan ruang yang luas untuk memberi penghormatan,” kata Grace Chan, 69, sambil meletakkan sekuntum bunga kekwa. Beliau turut meluahkan rasa kecewa terhadap keadaan yang disifatkannya sebagai penapisan kendiri dalam kalangan masyarakat.
“Terlalu ramai penduduk Hong Kong yang terus berdiam diri,” katanya kepada para wartawan.
Pada Rabu, suasana pilu menyelubungi upacara memperingati mangsa di sebuah gereja di Hong Kong yang dihadiri ratusan orang, dengan empat individu yang kehilangan ahli keluarga membacakan nama mangsa yang terkorban.
“Kebakaran boleh memusnahkan rumah kita dan meragut nyawa. Namun, ia tidak akan mampu memadamkan kasih sayang antara kita dengan insan tersayang yang telah pergi,” kata Jenny Lam, seorang paderi yang kehilangan tiga orang ahli keluarganya dalam tragedi itu.
Kebakaran itu merupakan tragedi terburuk Hong Kong dalam tempoh lebih tujuh dekad, sekali gus mengejutkan 7.5 juta penduduk bandar yang dianggap antara paling selamat di Asia.
Pegawai nombor dua Hong Kong, Eric Chan, menyatakan bahawa kerajaan akan menawarkan bantuan kepada acara-acara yang sah di sisi undang-undang, tetapi pada masa yang sama memberi amaran agar tidak berlaku sebarang tindakan yang mungkin mencetuskan kekacauan.
Minggu ini, Pejabat Hal Ehwal Hong Kong dan Macau di bawah kerajaan China menyuarakan bantahan terhadap cubaan untuk mencetuskan kekacauan dengan berselindung di sebalik acara peringatan, serta memberi amaran terhadap individu yang mempunyai agenda tersembunyi yang mungkin mencetuskan masalah.
Menurut laporan, beberapa wartawan tempatan yang tidak didedahkan nama mereka, berdepan dengan tekanan dalaman semasa membuat liputan mengenai kebakaran tersebut, termasuk arahan untuk menangguhkan program yang sepatutnya disiarkan.
Bercakap dengan AFP, seorang jurucakap kerajaan berkata tiada sekatan terhadap pihak media dari segi kebebasan untuk memberi ulasan dan mengkritik dasar kerajaan selagi ia mematuhi undang-undang.
Sementara itu, pemantau hak asasi Human Rights Watch (HRW) menyatakan bahawa kerajaan Hong Kong menggunakan taktik Beijing untuk mendiamkan mangsa, sambil menjanjikan akauntabiliti yang sebenarnya sukar untuk direalisasikan. – AFP



