SINGAPURA: Hampir separuh ibu bapa di Singapura bimbang kecerdasan buatan (AI) boleh menjejaskan keupayaan anak mereka untuk berfikir secara kendiri, lapor Xinhua memetik hasil kajian pada Khamis.
Kajian TrendLife yang melibatkan 520 ibu bapa di Singapura mendapati 95 peratus responden berkata anak mereka yang masih bersekolah menggunakan alat atau ciri berasaskan AI sekurang-kurangnya sekali seminggu.
Bagaimanapun, 44 peratus menyuarakan kebimbangan bahawa AI boleh menjejaskan pemikiran kritis dan keupayaan anak untuk menyelesaikan masalah secara kendiri.
Sebanyak 37 peratus lagi bimbang akan potensi kesan AI terhadap tempoh tumpuan kanak-kanak dan keupayaan mereka melaksanakan tugasan yang kompleks.
Kajian itu turut mendapati 40 peratus ibu bapa di Singapura amat bimbang keluarga mereka akan ketinggalan dari segi sosial, kerjaya atau kewangan sekiranya gagal meningkatkan kemahiran AI secara berterusan.
Peratusan itu meningkat kepada 46 peratus dalam kalangan ibu bapa berusia 25 hingga 34 tahun, menunjukkan bahawa keluarga muda amat berminat untuk mempersiapkan diri menghadapi masa depan yang dipacu AI.- Bernama-Xinhua



