ARTIKEL

Menteri Komunikasi merangkap Ketua Penerangan PKR Datuk Fahmi Fadzil berucap pada Majlis Perasmian Perdana Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Keadilan bagi Wilayah Persekutuan 2026 di Komune Living and Wellness Bandar Tun Razak.

Fahmi ingatkan pemimpin tidak salah guna kuasa

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: PKR tidak akan sesekali melindungi mana-mana pemimpin dan ahli yang didapati menyalahgunakan kuasa, kata Ketua Penerangan parti berkenaan, Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah memberi amaran keras bahawa tiada sesiapa, termasuk menteri, akan dilindungi sekiranya terlibat dalam salah guna kuasa.

“Jangan sesekali mengambil kesempatan untuk menyalahgunakan kuasa, jangan mengambil kesempatan atau mengambil apa-apa… jangan sampai imej parti tercalar dengan pergi ke mana-mana kononnya mahu ‘tengok lesen’… apabila diberi amanah, jangan dinodai.

“Ini peringatan kepada kita… kita dahulu berdepan dengan FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan) untuk menghentikan penyalahgunaan kuasa… jangan pula sekarang kita membenarkan perkara yang sama berlaku dalam kalangan kita,” katanya.

Fahmi berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR bagi Wilayah Persekutuan 2026 di Bandar Tun Razak, Cheras di sini hari ini.

Pada masa sama, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi turut mengingatkan pemimpin supaya tidak terlalu selesa dengan jawatan.

Beliau berkata perubahan gaya hidup secara mendadak tanpa penjelasan munasabah boleh menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat.

Fahmi turut menyeru semua pihak dalam PKR agar saling menegur secara berhemah melalui saluran yang betul.

“Kita boleh mempunyai kepelbagaian pandangan dalam parti dan parti tidak pernah menghalang anggota daripada menyampaikan suara serta pandangan.

“Namun, ketika negara berdepan dengan krisis tenaga global dan isu ekonomi, kita perlu bersatu hati, mengetepikan perbezaan pandangan serta bersama kerajaan untuk memastikan kita dapat mengharungi dugaan dan cabaran besar ini dengan jayanya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata perbicaraan berhubung saman fitnah terhadap tiga individu yang mendakwa beliau menyalahgunakan tempat beribadah, iaitu masjid bagi tujuan kempen pilihan raya serta bertindak bertentangan dengan titah dan perintah Sultan Selangor, akan bermula Isnin depan.

Beliau berkata kes itu akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Insya-Allah, pada Isnin ini… saya dimaklumkan bahawa saya akan menjadi saksi pertama,” katanya sambil menegaskan bahawa tindakan undang-undang itu diambil bagi membersihkan namanya.

Saman itu difailkan Fahmi secara berasingan pada 5 Sept 2023 terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo, penceramah bebas Ahmad Dusuki Abd Rani dan pemilik akaun Facebook N13 Kuang Mohd Fauzan Madzlan berhubung dakwaan kononnya Ahli Parlimen Lembah Pantai berkenaan menyampaikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang, Selangor.– BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

RM1.272 bilion perkukuh bekalan air di Sarawak

KUCHING: Enam projek bekalan air di Sarawak bernilai keseluruhan RM1.272 bilion akan diteruskan menerusi Pelan Pelaksanaan Berkala Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi meningkatkan akses

Polis tahan empat suspek kes khianat simbah cat

MIRI: Gara-gara tuntutan hutang pinjaman wang dalam talian yang dipercayai dibuat oleh anak lelakinya, seorang bapa berusia 54 tahun menerima ugutan sebelum kediamannya di sebuah