Fajar Noor, atau nama penuhnya Fajar Nurdiansyah, semakin menyerlah sejak muncul sebagai naib juara musim ke-13 Indonesian Idol pada 2025, satu pencapaian yang membuka lembaran baharu dalam perjalanan seninya sebagai penyanyi dan penulis lagu.
Namun, dunia seni bukan satu-satunya pentas yang pernah diterokai anak muda itu.
Sebelum memilih muzik sebagai laluan utama, Fajar turut mempunyai latar belakang sebagai pemain bola sepak dan pernah diberi kepercayaan menjadi kapten pasukan Binjai City U-17 dalam Piala Soeratin U-17.
Kini, muzik menjadi ruang untuknya terus berkembang, apatah lagi dengan warna vokalnya yang tebal sehingga sering dibandingkan dengan penyanyi terkenal Indonesia, Afgan.

Selepas namanya mula dikenali menerusi pentas realiti nyanyian itu, Fajar tidak mahu sekadar berpuas hati dengan pencapaian tersebut.
Sebaliknya, dia memanfaatkan peluang yang hadir untuk memperkenalkan sisi lain dirinya menerusi karya yang lebih dekat dengan pengalaman dan emosinya.
Langkah itu diteruskan menerusi album perdana, Sementara, Selamanya, yang menghimpunkan lapan lagu.
Album itu membawa pendengar menyusuri perjalanan sebuah kisah cinta, daripada detik jatuh cinta, melalui konflik dan kehilangan, hinggalah kepada patah hati serta perasaan yang masih sukar dilepaskan selepas hubungan berakhir.

Antara lagu yang dimuatkan dalam album berkenaan ialah Tahta Hatiku #Pendampingmu, Tuhan Tahu Kita Saling Cinta, Salah Apa Aku, Sembuh Tanpaku, Yang Kutuju, Jangan Datang Saat Kesepian dan 8.
Menurut Fajar, setiap lagu mempunyai cerita tersendiri kerana sebahagiannya lahir daripada pengalaman serta emosi yang pernah dilaluinya.
Justeru, proses menghasilkan Sementara, Selamanya bukan sekadar pembikinan sebuah album, malah menjadi perjalanan buat dirinya untuk mengenali dan bersikap lebih jujur terhadap emosi sendiri.
“Cabaran terbesar ialah bersikap jujur terhadap diri sendiri. Banyak lagu dalam album ini lahir daripada pengalaman dan emosi yang sangat dekat dengan saya.
“Saya berharap setiap lagu bukan sahaja mewakili kisah saya, malah dapat dirasai oleh sesiapa sahaja yang pernah melalui fasa jatuh cinta, kehilangan dan penyesalan,” katanya seperti dipetik dalam laporan media antarabangsa.
Bagi merealisasikan album berkenaan, Fajar bekerjasama dengan penerbit terkenal Indonesia, Arsy Widianto dan Iqbal Siregar, yang menghasilkan susunan muzik berkonsepkan pop balada moden dengan sentuhan melodi yang mudah dihayati.
Gabungan karya dan pengalaman peribadi itu menjadikan Sementara, Selamanya lebih daripada sekadar himpunan lagu.
Sebaliknya, album itu menjadi ruang buat Fajar memperlihatkan kematangannya sebagai penyanyi dan pencerita yang menterjemahkan pelbagai sisi emosi menerusi muzik.
Dari Indonesia, karya itu kemudiannya dibawa lebih dekat kepada peminat di Malaysia menerusi Sementara, Selamanya Showcase Bersama Fajar Noor yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara baru-baru ini.
Walaupun sudah tiga kali berkunjung ke Malaysia, acara itu tetap mempunyai nilai tersendiri buat Fajar kerana menjadi persembahan khas pertamanya di negara ini.
Lebih 600 peminat hadir menyaksikan persembahan selama dua jam itu, termasuk FajarSoul dari Indonesia yang sanggup datang bagi meraikan detik istimewa berkenaan.
Kemeriahan sambutan peminat sudah dapat dirasai sebelum persembahan bermula apabila ruang legar lokasi acara dipenuhi mereka yang mengenakan pakaian bernuansa biru dan coklat, manakala cahaya batang lampu berwarna biru menerangi ruang persembahan.
Tirai malam itu dibuka dengan tayangan montaj khas yang memaparkan sorotan kenangan Fajar bersama peminat sepanjang berada di Malaysia.
Tepat jam 8.30 malam, penyanyi berusia 22 tahun itu memulakan persembahan menerusi Jangan Datang Saat Kesepian sebelum membawa penonton menyusuri deretan lagu daripada album terbaharunya.
Suasana semakin meriah apabila Tahta Hatiku #Pendampingmu berkumandang dengan peminat turut menyanyikan lagu berkenaan bersama-sama.


Fajar kemudian membawa penonton menikmati suasana lebih intim menerusi lagu 8 apabila mereka diajak menyanyi sambil menyalakan lampu suluh telefon bimbit, sekali gus menghasilkan lautan cahaya yang memenuhi ruang acara.
Persembahan diteruskan dengan Tuhan Tahu Kita Saling Cinta dan Salah Apa Aku sebelum suasana berubah menjadi lebih syahdu menjelang penghujung malam.
Namun, detik paling menyentuh hati hadir menerusi kejutan yang tidak disangka-sangka Fajar apabila montaj video khas daripada FajarSoul ditayangkan pada skrin.
Kejutan itu ternyata menyentuh hati Fajar sehingga penyanyi berkenaan sebak dan menitiskan air mata, sekali gus memperlihatkan betapa besarnya makna sokongan peminat dalam perjalanan seninya.
Bagi Fajar, peluang beraksi di hadapan peminat tempatan menjadi antara detik terindah dalam kerjaya seninya, lebih-lebih lagi apabila sokongan yang diterima dapat dirasainya secara langsung.
“Terima kasih banyak-banyak kepada semua peminat yang hadir.
“Semoga malam ini menjadi kenangan manis buat kalian kerana korang dah cipta kenangan paling indah buat kita semua,” katanya.
Kunjungan ke Malaysia bagaimanapun tidak terhenti di pentas persembahan apabila Fajar turut mengambil kesempatan mendekati peminat menerusi aktiviti busking di SOGO dan Bukit Bintang bersama-sama penyanyi tempatan, Syamel dan Khai Bahar.
Bagi Fajar, kehadirannya di Malaysia bukan sekadar untuk memenuhi jadual promosi, malah menjadi ruang untuk mendekati peminat yang selama ini setia memberikan sokongan terhadap perjalanan muziknya.
Daripada pentas Indonesian Idol kepada album pertama dan kini menghiburkan peminat di Malaysia, perjalanan Fajar jelas memperlihatkan perkembangan seorang anak muda yang sedang membina nama sedikit demi sedikit dengan menjadikan muzik sebagai medium untuk berkongsi kisah dan pengalaman yang pernah dilaluinya.



