ARTIKEL

Fakta dan realiti

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

VIDEO ucapan aktivis Rohingya, Noor Azizah, yang kembali tular di media sosial baru-baru ini sekali lagi membuka perdebatan berkenaan komuniti Rohingya di Malaysia.

Dalam ucapan yang disampaikan tahun lalu itu, beliau menyentuh cabaran yang dihadapi etnik Rohingya di beberapa negara serantau termasuk Malaysia.

Antara dakwaan yang dikemukakan ialah lebih 2,000 kanak-kanak Rohingya di negara ini membesar di sebalik jeriji besi, bukannya di dalam bilik darjah.

Kenyataan itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat Malaysia. Ramai yang mempersoalkan gambaran yang diberikan terhadap negara ini di pentas antarabangsa.

Persoalannya bukan sama ada Noor Azizah berhak bersuara atau tidak. Sebagai aktivis dan anggota komuniti Rohingya, ya memang beliau berhak menceritakan pengalaman serta memperjuangkan nasib bangsanya.

Namun persoalannya, sejauh mana gambaran yang diberikan itu mencerminkan realiti yang berlaku secara menyeluruh?

Apabila membincangkan isu Rohingya, Malaysia kerap digambarkan sebagai sebahagian daripada masalah, sedangkan negara ini bukan punca kepada tragedi yang menimpa etnik tersebut.

Hakikatnya, punca utama krisis Rohingya berpunca daripada kegagalan Myanmar mengiktiraf hak serta kedudukan etnik tersebut sebagai sebahagian daripada warganegaranya.

Bagi saya, tidak salah untuk bersuara dan memperjuangkan nasib komuniti sendiri. Namun perjuangan tersebut mestilah berasaskan fakta yang lengkap, tepat dan adil.

Tidak dinafikan masyarakat Rohingya merupakan mangsa konflik serta diskriminasi yang berpanjangan di Myanmar.

Mereka kehilangan peluang menikmati kehidupan yang lebih baik dari segi ekonomi dan keselamatan, iaitu hak yang sewajarnya dinikmati oleh setiap manusia.

Demi menyelamatkan diri dan keluarga daripada ancaman yang dihadapi, ramai dalam kalangan mereka terpaksa meninggalkan tanah kelahiran dan mendapatkan perlindungan di negara lain termasuk Malaysia.

Bagaimanapun, dalam membicarakan isu Rohingya, adalah tidak wajar untuk mengutuk dan menggambarkan Malaysia sebagai pihak yang perlu memikul tanggungjawab terhadap tragedi yang menimpa etnik tersebut.

Malaysia bukan negara yang menghalau mereka dari tanah asal atau menafikan hak mereka untuk hidup secara aman dan bermaruah.

Negara kita juga bukan negara yang menandatangani atau meratifikasi Konvensyen Status Pelarian 1951 serta Protokol 1967. 

Oleh itu, negara ini tidak terikat dengan obligasi perundangan yang dikenakan ke atas negara-negara yang menjadi pihak kepada instrumen antarabangsa tersebut.

Walaupun begitu, atas dasar kemanusiaan dan pertimbangan moral, Malaysia tetap membuka ruang perlindungan kepada sebahagian Rohingya yang melarikan diri daripada penindasan dan konflik di negara asal mereka.

Kerajaan turut melaksanakan pelbagai langkah bagi menjaga kebajikan kanak-kanak migran termasuk melalui inisiatif Baitul Mahabbah yang menyediakan persekitaran lebih kondusif serta akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan dan keperluan asas.

Atas sebab itu, sebahagian rakyat Malaysia berasa kecewa apabila pengalaman hidup yang dipaparkan kepada dunia tidak menggambarkan realiti yang berlaku. 

Jika benar terdapat elemen yang dibesar-besarkan atau tidak tepat, keadaan tersebut bukan sahaja menjejaskan kredibiliti individu yang membuat dakwaan, malah boleh memberi kesan kepada persepsi terhadap komuniti pelarian secara keseluruhan.

Dalam memperjuangkan hak asasi manusia, ketepatan maklumat mestilah menjadi keutamaan. Naratif yang dibina atas fakta yang lemah akhirnya boleh memudaratkan perjuangan itu sendiri apabila timbul keraguan terhadap kredibilitinya.

Perdebatan ini turut mengingatkan kita kepada pendirian Sarawak berhubung isu Rohingya. Beberapa tahun lalu,

Kerajaan Sarawak mengambil pendirian tegas dengan menolak cadangan penempatan pelarian Rohingya di negeri ini.

Keputusan tersebut menerima pelbagai reaksi, termasuk kritikan daripada pihak yang melihatnya semata-mata dari sudut kemanusiaan. Namun dari perspektif pentadbiran, keputusan itu dibuat berdasarkan pertimbangan yang lebih luas.

Kerajaan Negeri bertanggungjawab memastikan kestabilan sosial, kesejahteraan ekonomi dan keharmonian masyarakat.

Pendirian Sarawak ketika itu mungkin tidak popular pada pandangan sesetengah pihak. Namun perkembangan semasa menunjukkan bahawa isu pelarian bukan sekadar soal belas ihsan. 

Ia turut melibatkan kapasiti negeri, keselamatan, keharmonian sosial serta kemampuan kerajaan menyediakan perkhidmatan awam kepada rakyat.

Dalam konteks ini, isu pelarian bukan sekadar soal menyediakan tempat tinggal, tetapi melibatkan implikasi jangka panjang terhadap pendidikan, kesihatan, pekerjaan dan keselamatan.

Pengalaman di beberapa negara Eropah menunjukkan bahawa pengurusan migrasi yang tidak terkawal boleh mencetuskan ketegangan sosial dan politik yang berpanjangan. 

Seperti di Sabah, penduduk bukan warganegara di negeri itu adalah isu rumit yang memerlukan kesepakatan semua pihak bagi penyelesaian menyeluruh jangka panjang. 

Sabah juga berdepan dengan isu legasi penduduk tanpa dokumen yang ramai untuk sekian lama. Pada Oktober 2022, Menteri Dalam Negeri ketika itu mengatakan Sabah merekodkan lebih satu juta penduduk tanpa dokumen.

Manakala Januari lalu, laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan Sabah merekodkan jumlah dan peratusan penduduk bukan warganegara tertinggi di Malaysia pada tahun 2025, sebanyak 1.040 juta orang iaitu sekitar 30.8 peratus.

Dengan kata lain, satu daripada setiap tiga individu yang ditemui di Sabah ialah warga asing. Hakikat ini mungkin mengejutkan ramai pihak, namun itulah realiti yang telah berkembang sedikit demi sedikit sejak sekian lama sehingga mencapai keadaan semasa.

Oleh itu, saya berpendapat pendekatan berhati-hati yang diambil Sarawak mempunyai asas yang kukuh dari sudut kepentingan negeri dan rakyatnya.

Nasib Rohingya sememangnya merupakan tragedi kemanusiaan yang memerlukan perhatian dunia. Namun penyelesaiannya tidak boleh diletakkan di bahu negara-negara transit seperti Malaysia semata-mata.

Tanggungjawab utama tetap terletak pada masyarakat antarabangsa dan negara asal yang gagal menjamin hak serta keselamatan rakyatnya sendiri. 

BERITA LAIN

BERITA TERBARU