ARTIKEL

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Datuk Seri Rosmadi Ismail ditemui pemberita selepas Kongres Luar Biasa KAFA 2026. -Foto BERNAMA

FAM Sedia Jadi Jambatan Bantu KRW FC Selesai Sekatan FIFA

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersedia menjadi perantara bagi membantu Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) menyelesaikan isu sekatan pemain yang dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), termasuk dalam urusan rayuan.

Naib Presiden FAM Datuk Seri Rosmadi Ismail berkata pihaknya sedia memberikan bantuan sewajarnya, namun kelab berkenaan perlu berurusan secara langsung dengan FIFA bagi menyelesaikan isu yang melibatkan tindakan kelab itu.

“FAM sebenarnya boleh menjadi jambatan, terutamanya untuk urusan rayuan. Yang lain saya rasa pihak kelab atau pasukan perlu berurusan terus dengan FIFA.

“Isu berkenaan melibatkan tindakan kelab dan FIFA. Jadi, KRW FC perlu berurusan terus dengan FIFA. Selain itu, masalah ini tidak memberi kesan kepada FAM sendiri,” katanya selepas Kongres Luar Biasa Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) di sini hari ini.

Sementara itu, Rosmadi ketika mengulas pelantikan Bojan Hodak sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya berkata pemilihan pengendali dari Croatia itu dibuat berdasarkan merit serta rekod kejayaan bersama beberapa pasukan sebelum ini.

Beliau berkata antara pencapaian membanggakan Bojan ialah kejayaan membantu Kelantan meraih kejuaraan treble dalam saingan Liga Malaysia 2012, selain menjuarai Piala Malaysia bersama Kuala Lumpur City (KL City) dan mencipta kejayaan bersama Persib Bandung.

Beliau turut berharap peminat dan penyokong bola sepak negara memberi ruang serta peluang kepada Bojan untuk membentuk pasukan kebangsaan yang lebih kompetitif.

Dalam perkembangan berkaitan, Rosmadi berkata KAFA akan dipulihkan secara berfasa dengan memberi keutamaan kepada pemerkasaan pentadbiran selepas persatuan itu digantung hampir dua tahun.

Beliau berkata fasa pertama akan menumpukan aspek pengurusan dan pentadbiran manakala fasa kedua melibatkan pembangunan bola sepak, dengan tempoh 100 hari pertama menjadi asas untuk mengenal pasti keutamaan serta sasaran pemulihan.

“Untuk penggal baharu ini, dengan barisan Exco baharu, kami akan pulihkan KAFA secara berfasa dengan memberi keutamaan kepada pemulihan dari segi pengurusan kerana dalam tempoh dua tahun sebelum ini banyak aktiviti pembangunan terbantut.

“Saya percaya dengan pasukan yang ada ini, termasuk timbalan naib presiden dan Exco yang mempunyai pengalaman dalam pengurusan bola sepak, kami akan cuba sedaya upaya untuk memulihkan KAFA,” katanya.

Beliau berkata rancangan pemulihan itu akan diperincikan dalam mesyuarat pertama barisan Exco baharu, selain memerlukan kerjasama persatuan bola sepak jajahan (PBJ) bagi merangka hala tuju baharu KAFA.

— BERNAMA

BERITA LAIN

Safawi letak The Cats di depan

KUCHING: Jaringan Safawi Rasid pada minit ke-32 meletakkan Kuching City FC di hadapan Phnom Penh Crown FC (PPCFC) dengan keputusan 1-0 pada separuh masa pertama

BERITA TERBARU

Safawi letak The Cats di depan

KUCHING: Jaringan Safawi Rasid pada minit ke-32 meletakkan Kuching City FC di hadapan Phnom Penh Crown FC (PPCFC) dengan keputusan 1-0 pada separuh masa pertama