ARTIKEL

PRN Sarawak: SPR Saran Bakal Calon Buat Semakan, Bayar Deposit Awal

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyarankan bakal calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 agar mengisi borang, membuat semakan awal serta menjelaskan bayaran deposit sebelum hari penamaan calon Sabtu ini.

Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus dalam kenyataan hari ini berkata semakan boleh dilakukan di Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak.

“Resit pembayaran deposit itu hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti pembayaran,” katanya.

Beliau memaklumkan sebanyak 82 pusat penamaan calon akan dibuka pada hari berkenaan, dengan kertas penamaan hendaklah diserahkan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya dari 9 hingga 10 pagi.

Kertas penamaan itu boleh diserahkan sama ada oleh calon, pencadang dan penyokong, mana-mana dua orang daripada mereka atau mana-mana seorang daripada mereka.

Khairul Shahril berkata bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik pula hendaklah mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti diwakili apabila membuat penyerahan kertas penamaan calon.

Beliau turut mengingatkan calon-calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya bahawa mereka tertakluk kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5] serta undang-undang kecil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Ini termasuklah larangan penggunaan alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan diayah politik melalui kenderaan dan menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan yang ditetapkan pada hari penamaan calon yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta 5,” katanya.

Sehubungan dengan itu, SPR menyeru bakal calon dan parti politik terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tataetika serta arahan yang dikeluarkan suruhanjaya itu, PBT dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar.

SPR menetapkan pengundian awal PRN Sarawak pada 8 Dis dan hari pengundian pada 12 Dis.

Dapatkan berita terkini PRN Sarawak ke-13 menerusi https://election.bernama.com/prn/sarawak/2026/.  – BERNAMA 

BERITA LAIN

SPR ingatkan calon patuhi peraturan penamaan

KUCHING: Bakal calon Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 diingatkan supaya melengkapkan borang penamaan calon, membuat semakan awal dan menjelaskan bayaran deposit bagi memastikan proses

GPS tampil dua jurutera wanita sebagai calon

SIMANGGANG: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengetengahkan golongan profesional, termasuk dua jurutera wanita daripada Sayap Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), dalam barisan calonnya bagi menghadapi

BERITA TERBARU

Safawi letak The Cats di depan

KUCHING: Jaringan Safawi Rasid pada minit ke-32 meletakkan Kuching City FC di hadapan Phnom Penh Crown FC (PPCFC) dengan keputusan 1-0 pada separuh masa pertama