Farihah johan syarahan spontan Sarawak

MUKAH: Tokoh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kabong Nur Farihah Ahmad Putera @ Sagap mengharumkan nama Bahagian Betong setelah bergelar johan syarahan spontan kategori perempuan bersempena Majlis Tadarus al-Quran dan Festival Nasyid Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Peringkat Negeri Sarawak, malam tadi.

Kemenangan tersebut turut membolehkan beliau menaikkan nama sekolahnya dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Saratok.

Beliau yang juga wakil sekolah dalam pertandingan pidato, bahas dan forum merupakan pelajar harapan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Farihah menerima hadiah yang disampaikan oleh Pengarah Pendidikan Negeri Dr. Azhar Ahmad.

Selain Farihah, Bahagian Betong yang diketuai guru Pendidikan Islam Ustaz Mohd Khairil Amirudin turut membawa pulang beberapa lagi keputusan yang membanggakan.

Ia disumbangkan oleh Putera Muhammad Iskandar Zulkarnain dan Nurizzah Zaidi yang berada pada kedudukan naib johan melalui pertandingan khat lelaki dan perempuan kategori sekolah rendah.

Iskandar merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Kupang Saratok, manakala Nurizzah dari SK Beladin, Pusa.

Antara lain, kumpulan Mujahid dari SMK Kabong turut menempatkan diri pada kedudukan ketiga dalam pertandingan nasyid.

Hadir sama Pegawai Pendidikan Daerah Saratok Anis Madeli, Penyelia Unit Pendidikan Islam PPD Saratok Shahrizan Sarbini dan Penyelia Unit Pendidikan Islam PPD Betong Razaili @ Lapok Sitam.