PENYANYI Faris Malek, 34, menggesa orang ramai khususnya pengguna media sosial untuk menggunakan platform tersebut untuk perkara yang lebih bermanfaat berbanding dengan menyebarkan kandungan yang mengundang kecaman.
Faris, bekas peserta Mentor musim ke-7 di bawah kendalian Aizat Hamdan, berharap melalui hantaran Facebooknya baru-baru ini agar platform tersebut dimanfaatkan untuk mengetengahkan perkara positif, termasuk aktiviti harian yang boleh dicontohi serta memberikan manfaat kepada pengguna media sosial.
“Buatlah hantaran aktiviti harian atau perkara yang lebih bermanfaat.
Janganlah membuat hantaran buruk dengan membuka aib orang lain, apabila dikecam, seolah-olah diri yang menjadi mangsa, lawak,” tulisnya.
Hantaran itu mendapat respons positif daripada orang ramai yang menganggap perkongsian penyanyi itu sebagai langkah baik dalam membendung aktiviti buli siber yang kian membimbangkan di media sosial.
“Kata-kata yang bijak,” komen salah seorang pengguna media sosial terhadap hantaran tersebut, selain ramai yang turut menyokong perkongsian anak muda itu sebagai peringatan kepada pengguna lain.
Terbaharu, Faris turut berkongsi bahawa beliau sejak kebelakangan ini tampil di beberapa majlis ramah-tamah Aidilfitri di beberapa kawasan termasuk di peringkat Daerah Asajaya yang berlangsung di Kompleks Sukan Asajaya sebagai penyanyi jemputan.
Hantaran tersebut turut meraih perhatian orang ramai apabila beliau memaparkan dirinya membantu para petugas di bahagian dapur membasuh pinggan mangkuk.
Beliau dilihat antara artis yang mendapat banyak undangan sempena majlis ramahtamah Aidilfitri baru-baru ini, sekali gus memeriahkan suasana dengan persembahan nyanyian.
Kemesraan dan sifat rendah diri Faris menjadikan beliau antara artis pilihan bagi majlis di kawasan pesisir seperti Asajaya, Samarahan dan sekitar Kuching.
Faris kini difahamkan masih aktif dalam industri muzik dalam usaha memartabatkan muzik tempatan.



