KUCHING: Penubuhan Liga Premier Sarawak dan Liga Bawah Umur merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang untuk memperkukuh ekosistem pembangunan bola sepak negeri, bukannya untuk mewujudkan liga profesional yang bersaing dengan struktur sedia ada.
Menegaskan perkara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Fazzrudin Abdul Rahman berkata Liga Premier Sarawak yang diperkenalkan tahun lalu merupakan platform untuk membangunkan serta mencungkil bakat baharu dalam bola sepak dan sebahagian daripada perancangan FAS bersama kementerian untuk memajukan bola sepak Sarawak.
Beliau menambah bahawa pertandingan itu turut disertai ahli gabungan FAS yang terdiri daripada persatuan bola sepak bahagian serta Kelab Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Baru sahaja kami mewujudkan Liga Premier Sarawak dan Liga Bawah Umur, sudah ada pihak yang memberi amaran kepada kami,” katanya dalam kenyataan balas terhadap satu laporan bahawa sebarang usaha oleh Sarawak untuk menubuhkan liga bola sepak profesional di luar struktur bola sepak Malaysia yang diiktiraf berkemungkinan tidak akan mendapat sokongan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Laporan yang memetik seorang sumber kanan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu menyatakan pendirian tersebut timbul susulan perhatian yang semakin meningkat terhadap rancangan Kerajaan Sarawak untuk membangunkan ekosistem bola sepak menyeluruh di peringkat negeri, yang mencetuskan spekulasi sama ada inisiatif itu akhirnya boleh berkembang menjadi satu pertandingan selari yang berasingan daripada Liga Malaysia.
Sumber itu menegaskan bahawa semua pertandingan yang ingin mendapat pengiktirafan perlu menerima kelulusan rasmi serta diintegrasikan ke dalam struktur bola sepak kebangsaan.
“Mana-mana liga negeri, termasuk liga di Sarawak, perlu melalui FAM untuk mendapatkan pengesahan dan pendaftaran sekiranya mahu diiktiraf dalam kerangka rasmi.
“Ia tidak boleh beroperasi secara bebas dan kemudian mengharapkan pengiktirafan secara automatik pada masa hadapan. Sistem piramid bola sepak dibina berdasarkan kelulusan awal, bukannya pengiktirafan selepas sesuatu pertandingan dilaksanakan,” katanya.
Justeru, Fazzrudin menjelaskan bahawa fasa pertama perancangan FAS adalah untuk memupuk semula minat terhadap bola sepak di peringkat bahagian.
Oleh sebab itu, katanya, syarat-syarat penyertaan pada tahun pertama adalah sangat ringan dan bagi tahun-tahun berikutnya, FAS merancang untuk memperkenalkan syarat-syarat baharu secara berperingkat.
Beliau berkata antara syarat yang dicadangkan ialah mewajibkan penyertaan pemain bawah 21 tahun di atas padang, mewajibkan jurulatih memiliki Lesen B, mewajibkan pasukan mempunyai Jurulatih Kecergasan serta syarat-syarat lain yang boleh membantu mencapai objektif pembangunan tersebut.
“Liga ini baru bermula pada tahun lalu dan sudah tentu kami memerlukan masa untuk meningkatkan mutu liga serta menambah baik syarat-syarat yang telah saya nyatakan,” katanya.
Sementara itu, Fazzrudin berkata FAS juga bekerjasama dengan syarikat-syarikat penaja untuk menganjurkan liga bawah umur, dengan hasrat untuk mewujudkan ekosistem yang lengkap bagi pembangunan bola sepak.
“Baru hendak bermula, sudah diberikan amaran. Bagaimana kita hendak maju jika keadaan begini?
“Bertenanglah dahulu. Jika tidak mengetahui perkara sebenar, jangan terus bersuara. Bertanyalah terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan. Jangan terburu-buru membuat kesimpulan bahawa kami mahu menganjurkan liga bola sepak profesional kami sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Sarawak sememangnya mahu mewujudkan laluan pembangunan yang membolehkan pemain melangkah ke peringkat bola sepak profesional, serta mahu lebih ramai pemain Sarawak mendapat peluang untuk bermain secara profesional.
“Seolah-olah FAS ini tidak mengetahui apa-apa mengenai struktur bola sepak.
“Jika benar maklumat itu datang daripada sumber dalam FAM, maka individu tersebut jelas tidak memahami perkara sebenar. Jika beginilah cara FAM menguruskan isu melibatkan ahli gabungannya, maka masih banyak perkara yang perlu diperbaharui dalam FAM,” katanya.



