KAPIT: Projek Jalan Nanga Kabah-SK Beguang-Sg. Song di daerah Song akan dipecahkan kepada tiga fasa secara keseluruhan dari aspek pelaksanaannya.
Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam satu kenyataan memberitahu, projek jalan kategori Jalan Luar Bandar akan menjadi fasa pertama daripada tiga fasa keseluruhan yang menghubungkan Nanga Kabah ke Nanga Melipis.
“Projek Fasa Satu sepanjang 16.375 kilometer ini bakal memberi manfaat kepada lebih 3,000 penduduk tempatan dan meningkatkan sosioekonomi penduduk.
“Seterusnya, mewujudkan jaringan jalan raya ke dua buah sekolah serta menjadi akses darat penting ke Pekan Kanowit dan bandar Sibu yang kemudiannya menghubungkan Lebuh Raya Pan Borneo,” katanya, semalam.
Menurut kenyataan yang sama, projek ini juga akan melibatkan pembinaan tiga buah jambatan, iaitu Jambatan Sungai Kabah (72 meter), Sungai Beguang (62m) dan Sungai Temiang (62m) dengan piawai geometri jalan JKR R3.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak akan bertindak sebagai agensi pelaksana bagi projek jalan fasa pertama.
Sementara itu, KKR turut mempunyai perancangan susulan pembinaan projek jalan berkenaan, iaitu pembinaan sebuah jambatan dua hala merentasi Batang Rejang yang menghubungkan Jalan Nanga Menuan-Nanga Setepus ke Jalan Song-Kapit.
Ia akan melibatkan pembinaan jalan tuju baharu sepanjang sekitar 900m dan 600m berdekatan dengan Bandar Kapit dan Pekan Song.

“Projek ini sedang dimohon di bawah Projek Program Pembangunan Baharu Rolling Plan Empat, Rancangan Malaysia ke-12 (RP4, RMK-12) tahun 2024.
“Ia bakal menyediakan mod perhubungan jambatan dan jalan luar bandar ke Bandar Kapit, Pekan Song dan Pekan Kanowit yang selamat dan selesa berbanding melalui jalan air buat masa kini,” ujarnya.
Tambahnya, pembangunan infrastruktur masa hadapan ini berpaksikan kepada kesejahteraan rakyat MADANI kerana pada waktu ini hanya 23.6 peratus penempatan di Bahagian Kapit dihubungkan dengan jalan awam manakala 76.4 peratus masih menggunakan jalan balak, jalan sawit dan pengangkutan air untuk ke Bandar Kapit.
Pelaksanaan projek ini merupakan satu lagi bukti komitmen Kerajaan Perpaduan dalam membangunkan rangkaian jalan raya secara lebih terancang, sistematik dan efisien.
“Ini selaras dengan hasrat Program MYJalan KKR yang ingin menyediakan infrastruktur yang selesa dan selamat kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi telah menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Jalan Nanga Kabah-SK Beguang-Sg. Song, Song, Kapit yang merupakan sebuah projek Persekutuan milik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) semalam.






