PERSEMBAHAN memukau oleh kumpulan Ensemble Melayu Nusantara berjaya mengangkat martabat muzik tradisional Melayu menerusi pentas berprestij Festival Kebudayaan Borneo (BCF) 2025 yang berlangsung di Dataran Tuanku Haji Bujang, Sibu, baru-baru ini.
Kumpulan ini juga pernah mencuri perhatian di peringkat antarabangsa apabila menerima sambutan hangat di Festival Muzik Dunia Hutan Hujan (RWMF) 2024, sekali gus membuktikan kemampuan mereka untuk membawa muzik warisan ke pentas global.
Malam penuh warnawarni dan sarat nilai budaya ini disaksikan oleh ribuan penonton dari seluruh pelusuk negara.
Malah, ada yang hadir dari Sabah, Lawas, Limbang, Kuala Lumpur, dan Pontianak sematamata untuk menyaksikan Puteri Gambus Malaysia, Fauziah Gambus, bersama Ensemble Melayu Nusantara beraksi di pentas utama BCF 2025.
Menurut Ketua dan Penyelaras Urusan Persembahan Ensemble Melayu Nusantara, Dr Kamil Salem, malam tersebut menampilkan Fauziah Gambus sebagai penyanyi utama dan pemain gambus yang memimpin persembahan dengan penuh gaya dan karisma.
Dikenali dengan keupayaannya menyampaikan elemen klasik dalam gaya persembahan moden, Fauziah memikat hati penonton menerusi lagu-lagu zapin, inang, joget dan canggung yang disusun secara dinamik dan kreatif.
Namun, keaslian warisan budaya tetap dikekalkan.
Beliau diiringi oleh Halim Hisamudin selaku penyanyi kedua serta barisan pemuzik berpengalaman iaitu Deen (bes), Dadi (dram), Ainal Johari (perkusi) dan Firlany Malik sebagai Pengarah Muzik yang menghidupkan suasana dengan tiupan seruling dan petikan akordion.
Gabungan mantap ini menghasilkan sebuah persembahan yang bukan sahaja menghiburkan, malah turut berfungsi sebagai medium pendidikan seni secara tidak langsung, mendidik melalui hiburan.
Menambah keunikan malam tersebut ialah penyertaan kumpulan Penari Kaki Seni Gerhayu dari Sibu, di bawah pimpinan Ad Ashraff, yang turut mengiringi persembahan.
Penampilan mereka menyuntik semangat dan keindahan gerak tari, sekali gus memperlihatkan kerjasama erat antara elemen muzik dengan tarian dalam mengekalkan seni warisan.
Lebih mengujakan, ramai penonton turut bangun menari bersama Fauziah dan Halim ketika menyanyikan lagu Joget Gadis Sarawak, ciptaan dan terbitan Allahyarham Pak Ngah serta Dr Kamil Salem, satu detik yang mencerminkan pelibatan aktif serta penghargaan mendalam terhadap muzik berirama tradisional moden.
Sambutan hangat ini membuktikan bahawa muzik berunsur gambus mempunyai tempat yang istimewa dalam hati masyarakat, merentas generasi dan latar geografi , mencerminkan popularitinya yang berterusan hingga ke hari ini.
Untuk makluman, lirik Joget Gadis Sarawak versi Bahasa Malaysia ditulis leh penulis lirik terkenal, Siso, manakala lirik dalam dialek daerah Kuching pula dihasilkan oleh Syamim Kamil.
Dikhabarkan, pada malam tersebut terdapat penonton yang tertanya-tanya tentang ketiadaan persembahan duet antara Fauziah Gambus dengan Dr Kamil, pasangan duet yang sering tular di TikTok dan Facebook menerusi lagu-lagu berirama Hindi.
Namun, memandangkan malam tersebut berkonsepkan irama Borneo, persembahan sebegitu dianggap kurang sesuai dengan tema yang diketengahkan.
Walaupun Dr Kamil tidak berduet pada malam itu, beliau memainkan peranan penting selaku koordinator dan pengarah persembahan, memastikan kelancaran keseluruhan produksi serta mutu persembahan.
Dalam pada itu, Dr Kamil turut menyatakan bahawa cabaran utama dalam memperkenalkan muzik tradisional kepada khalayak moden ialah mencari keseimbangan antara pemeliharaan dengan penyesuaian.
“Kita tidak mahu kehilangan roh asal budaya, namun pada masa yang sama, kita perlu berani bereksperimen dari segi persembahan, susunan muzik dan penggunaan teknologi pentas.“ Integrasi antara tradisi dengan inovasi ialah kunci untuk memastikan muzik seperti gambus terus hidup dan diminati.
Persembahan seperti ini membuktikan bahawa apabila muzik tradisional dibentangkan secara kreatif dan mesra audiens, ia mampu menarik minat pelbagai lapisan masyarakat, termasuk generasi muda,” jelasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas usaha penganjuran oleh Majlis Perbandaran Sibu (SMC) di bawah pimpinan Pengerusi Penganjur BCF, Mohammed Abdullah Izkandar Datuk Roseley, serta seluruh kakitangan SMC yang wajar dipuji.
“Ketelitian dalam perancangan serta layanan mesra sepanjang keberadaan kami di Sibu merupakan antara faktor utama kejayaan acara ini. Saya amat menghargai kerjasama seluruh warga kerja SMC yang begitu komited dalam usaha memartabatkan seni dan budaya tempatan,“ katanya.
Harapan saya adalah agar muzik tradisional Melayu, khususnya di Sarawak, terus disemarakkan serta dikenali, bukan sahaja di dalam negara, malah turut mendapat tempat di persada antarabangsa.
“Dengan usaha bersepadu dalam pendidikan seni, dokumentasi dan penyertaan generasi muda, warisan ini akan terus hidup dan menjadi kebanggaan bersama,” katanya.
Sibu kini bukan sahaja menjadi tuan rumah kepada acara kebudayaan yang gah, malah menempatkan dirinya sebagai pusat pertemuan seni dan warisan pelbagai kaum di Malaysia.
Ensemble Melayu Nusantara sekali lagi membuktikan bahawa muzik tradisional tidak pernah lapuk ditelan zaman.
Dengan semangat kolektif, dedikasi seni dan sokongan komuniti, muzik warisan seperti gambus terus bernafas megah di pentas moden.



